Sindiket penipuan rekrut 'runner' cari keldai akaun

Roslee (tengah) menunjukkan lampiran laporan Operasi Khas 'Sindiket Mule Account' pada sidang media di IPK Terengganu, di sini hari ini. Hadir sama Timbalannya, Datuk Rohaimi Md Isa (kiri) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan M. Zambri Mahmud (kanan).
Roslee (tengah) menunjukkan lampiran laporan Operasi Khas 'Sindiket Mule Account' pada sidang media di IPK Terengganu, di sini hari ini. Hadir sama Timbalannya, Datuk Rohaimi Md Isa (kiri) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan M. Zambri Mahmud (kanan).
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu membongkar satu sindiket yang menjual kad bank serta nombor pin dengan bayaran lumayan selepas menahan 59 pemilik akaun di negeri ini disyaki menjadi keldai akaun untuk kegiatan itu.

Sindiket berkenaan yang dikatakan melantik 'runner' menawarkan harga lumayan bagi setiap kad sehingga melibatkan kerugian hampir RM 2 juta dalam tempoh Januari hingga Mei lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 50 tahun di seluruh negara termasuk Sabah sempena Operasi Khas 'Sindiket Mule Account' yang dilancarkan sejak April hingga Mei.

Katanya, operasi khas itu dilancarkan susulan laporan kes penipuan meningkat mendadak sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati 'runner' yang dilantik sindiket itu menyasarkan pemilik akaun daripada pelbagai lapisan terutama yang memiliki lebih daripada satu akaun bank.

"Runner terbabit akan memperdayakan mangsa untuk membeli kad bank serta nombor pin dengan harga RM200 hingga RM300 sebelum menjual semula kepada sindiket tersebut dengan harga mencecah RM1,000 hingga RM1,500 bagi setiap satu kad.

"Akaun bank tersebut akan digunakan anggota sindiket terbabit sebagai transaksi penyimpanan wang yang diperoleh hasil penipuan," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini hari ini.

Roslee berkata, daripada 59 pemilik akaun dipercayai menjadi keldai akaun yang ditahan, seramai 56 sudah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki dan menyimpan barang curi.

Artikel Berkaitan:

"Majoriti mereka yang ditahan mendakwa kononnya teraniaya dan langsung tidak mengetahui akaun bank miliknya disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.

"Bagaimanapun alasan itu langsung tidak boleh diterima kerana kita yakin pemilik akaun tahu sebelum bersetuju menjual kad akaun bank kepada pihak tersebut," katanya.

Justeru, Roslee menasihatkan masyarakat supaya tidak mendedahkan maklumat bank dan peribadi lain selain jangan mudah menerima tawaran untuk membantu melakukan pemindahan wang ke akaun tertentu.

"Jika kita mendapati ada jumlah wang dimasukkan ke dalam akaun bank tanpa diketahui daripada mana, segeralah membuat semakan dengan pihak bank bagi menyelamatkan kita daripada menjadi mangsa keldai akaun," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melayan pihak tertentu yang memaklumkan kononnya ada berlaku kesilapan pindahan wang dan meminta dilakukan pindahan semula.

"Selain itu, paling penting jangan terlalu mudah menyerahkan kad bank serta nombor pin atau akses perbankan internet kepada pihak lain," katanya.