'Pas gagal jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat'

Faiz
Faiz
A
A
A

SHAH ALAM - Pas akan gagal sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan dalam tempoh terdekat susulan kegagalan parti itu dalam mentadbir Kelantan, Terengganu dan Kedah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil.

Beliau memberi contoh kegagalan Pas di tiga negeri itu antaranya ialah dalam mengatasi masalah air bersih, sistem bekalan air, isu pembelian Mercedes, isu kemiskinan dan pembalakan serta gagal membawa masuk pelaburan baharu ke negeri berkenaan.

Faiz yang juga merupakan anak bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor mendakwa, Pas tidak kompeten mentadbir negeri berkenaan apabila tidak meletakkan agenda kebajikan rakyat dan kemakmuran negeri sebagai agenda utama pentadbiran.

Dalam pada itu, katanya, pakatan Pas dan UMNO melalui Muafakat Nasional juga masih dalam keadaan rapuh malah tiada struktur organisasi yang tersusun seperti Pakatan Harapan (PH).

“Mereka juga bertindih kerusi yang sama dan sukar untuk mana-mana parti beralah. Mereka juga tiada dasar politik yang jelas dan masih tiada manifesto. Tiada apa-apa agenda rakyat dan pembangunan negara dibentangkan.

“Muafakat Nasional hanya bergantung kepada sentimen untuk mendapatkan sokongan orang Melayu. Saya yakin orang Melayu semakin sedar bahawa muafakat semata-mata perkauman tidak menguntungkan orang Melayu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, spekulasi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam masa terdekat mula tercetus apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat bahawa parti itu telah bersedia untuk menghadapi PRU.

Kenyataan itu dibuat Ahmad Zahid di laman sosial Facebooknya selepas menerima kunjungan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua adik Najib, Datuk Nazim dan Datuk Nizam serta Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin.

Artikel Berkaitan:

Menariknya, kenyataan itu dikeluarkan di tengah-tengah spekulasi akan berlaku semula perubahan kerajaan serta krisis politik membabitkan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa dirinya masih Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menjelaskan perkara itu, Najib dalam catatannya di Facebooknya pula berkata, PRU15 adalah jalan terakhir bagi mengembalikan kestabilan politik negara jika PH terus menggugat kerajaan Perikatan Nasional.

Najib berkata, sokongan UMNO dan BN kepada Perikatan Nasional juga telah dizahirkan sehingga PRU15.

Dalam perkembangan terbaharu, UMNO dan Pas didakwa mengadakan mesyuarat jawatankuasa perundingan Muafakat Nasional bagi memperkemaskan persiapan gabungan parti itu dalam menghadapi PRU15 malam kelmarin.

Menurut sumber parti itu yang dipetik Malaysiakini, Muafakat Nasional yang terdiri daripada dua parti itu menjangkakan PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat berikutan kemelut politik negara yang tidak berkesudahan.

"Mesyuarat malam semalam membincangkan persiapan PRU15 yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat. PRU15 dijangka akan diadakan selepas hal-hal berbangkit dalam Perikatan Nasional dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) diselesaikan," kata sumber terbabit.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan beliau menyertai mesyuarat berkenaan namun tidak mahu mengulas lanjut mengenainya.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, Pas dan UMNO dilihat hanya sibuk dengan permainan politik mereka dan dan menjadikan rakyat sebagai mangsa.

“Sebagai contoh, wang rakyat dibazirkan untuk membayar elaun Kabinet Perikatan Nasional yang besar tetapi rakyat dibiarkan merana, pengangguran semakin meningkat sehingga 610,000 orang dan harga barang yang tinggi tidak diselesaikan secara serius,” kata anak bekas presiden Pas itu lagi.