Jangan suka tuding jari!

Windsor Paul John
Windsor Paul John
A
A
A

ISU tunggakan gaji yang membelenggu pemain pasukan Liga Malaysia (Liga-M) ketika ini tidak harus dijadikan alasan bagi mana-mana pihak menyalahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahupun Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John berkata, berdasarkan kepada kontrak sedia ada, perbincangan soal gaji hanya melibatkan antara pemain dan majikan iaitu persatuan negeri atau kelab masing-masing.

Menurut Windsor Paul lagi, peraturan yang digariskan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) jelas menyatakan bahawa pihak ketiga tidak boleh masuk campur dalam hal berkaitan gaji pemain mahupun pegawai pasukan.

“Perbincangan tentang masalah gaji hanya antara pemain dan pasukan atau kelab, ia tidak melibatkan FAM atau MFL. Tetapi pemain masih diberikan ruang dan peluang untuk membuat aduan kepada FAM.

“Namun, ada juga kes melibatkan pemain luar (import) yang dibawa kepada FIFA. Ini disebabkan pemain itu sendiri telah membuat laporan kepada FIFA berhubung isu tunggakan gaji,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Windsor Paul berkata demikian ketika diminta mengulas isu tuntutan gaji dua bekas pemain import Kelantan, Cassio Francisco De Jesus dan Bruno Lopes yang kini berada dalam fail FIFA.

Terdahulu, FIFA mengarahkan Kafa melunaskan tunggakan gaji berjumlah RM629,620.28 kepada Cassio yang memaksa persatuan itu mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) selepas gagal membayar hutang berkenaan dalam tempoh yang diberikan.

Belum selesai kes membabitkan Cassio, Kafa terus ditimpa tekanan apabila FIFA mengarahkan mereka menyelesaikan tunggakan gaji seorang lagi bekas pemain import, Bruno Lopes yang berjumlah kira-kira RM142,000.

Artikel Berkaitan:

“Kami sebenarnya sentiasa ambil berat mengenai pemain terutamanya soal gaji. Itu sebabnya, kami kawal gaji mereka dan pasukan yang gagal melunaskan gaji pemain, kami di AFC tidak akan keluarkan lesen,” katanya.

Pada masa sama, Windsor Paul memberitahu, tidak ada pihak yang boleh dipersalahkan 100 peratus berhubung masalah pembayaran gaji dalam kalangan pemain dan pegawai pasukan.

“Dalam soal ini, nak salahkan pemain tak boleh dan salahkan pasukan juga tak boleh. Bagi pihak pemain, tiada siapa yang memaksa dia untuk menandatangani kontrak dengan mana-mana pasukan.

“Dia (pemain) sendiri yang pilih untuk tandatangani kontrak dengan pasukan. Begitu juga dengan pasukan atau kelab, tiada siapa yang memaksa mereka untuk bawa masuk pemain berkenaan,” katanya.