Minta kerajaan Pahang dedah SOP angkut bauksit: Geram

Ali Akbar (Facebook Geram mendedahkan kerja-kerja bauksit sudah mula tempoh percubaan hari ini.)
Ali Akbar (Facebook Geram mendedahkan kerja-kerja bauksit sudah mula tempoh percubaan hari ini.)
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang diminta mendedahkan laluan khas yang akan digunakan pengusaha lori untuk mengangkut bauksit ke Pelabuhan kepada rakyat.

Pengerusi Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram), Ali Akbar Othman berkata, operasi itu sudah mula tempoh percubaannya hari ini, namun tiada sebarang pendedahan secara lengkap diumumkan kepada rakyat berhubung operasi perlombongan dan pengeksportan bahan mineral itu.

Menurutnya, pengumuman itu bagi memastikan laluan yang digunakan tidak mengganggu pengguna jalan raya dan pencemaran alam sekitar seperti sebelum ini.

"Kalau boleh Kerajaan Pahang atau agensi yang terlibat dengan aktiviti bauksit ini mendedahkan produser operasi standard (SOP), bagi kerja-kerja melombong dan mengangkut bahan mineral ini kepada rakyat. Kita hendak tahu laluan mana pemandu lori akan gunakan bagi tujuan angkut bauksit.

"Selain itu, kita juga ingin tahu berapa had muatan dibenarkan termasuk penggunaan jenis lori. Semua perkara itu perlu dimaklumkan kepada warga Kuantan. Ini bagi membolehkan aduan dibuat, jika pengusaha tidak mematuhi syarat ditetapkan kerajaan.

"Kita tidak mahu sejarah lama berulang kembali seperti berlakunya kemalangan membabitkan lori bauksit, pencemaran dan sebagainya, jadi rakyat perlu tahu SOP kerja-kerja melibatkan bauksit ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini

Semalam, Geram memuat naik status mengenai operasi bauksit secara percubaan telah pun bermula pada hari ini.

Ali Akhbar berkata, pihaknya tidak pernah membantah aktiviti ini, jika pengusaha bauksit mematuhi SOP yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Kita sebenarnya tidak pernah halang aktiviti ini kerana kita tahu ia salah satu punca pendapatan bagi Kerajaan Pahang tetapi kalau pengusaha tidak patuhi SOP sudah pasti kita akan marah dan gesa aktiviti ini dihentikan.

"Kita tidak mahu lagi ada kemalangan, pencemaran udara, banjir lumpur dan sebagainya akibat kerakusan melombong bauksit. Kalau boleh kejadian dahulu dijadikan sebagai pengajaran untuk terus menambah baik SOP bauksit pada ketika ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Gagasan Dua Generasi Felda Bukit Goh, Jefri Salim berkata, peneroka kini menarik nafas lega apabila aktiviti perlombongan dan pengekspotan bauksit telah dimulakan.

Menurutnya, walaupun ia baru di peringkat percubaan, namun diharapkan pihak yang terlibat dapat mematuhi SOP ditetapkan.

"Hampir dua tahun operasi bauksit tidak berjalan, semua peneroka terlibat sudah hilang punca pendapatan. Kami harap tempoh percubaan ini digunakan dengan sebaiknya.

"Sekurang-kurangnya peneroka boleh dapat pendapatan hasil daripada aktiviti itu," katanya.