Dua lelaki didenda bantu sembunyi wang

No Image Caption
A
A
A

KUALA PILAH - Dua lelaki masing-masing didenda RM10,000 dan RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membantu menyembunyikan wang tiga tahun lalu.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Fadhli Afiq Rohizat, 26, dan Muhammad Khirul Anwar Mohd Darus, 22, yang membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh, Muhammad Fadhli Afiq Rohizat didapati telah menolong menyembunyikan wang sebanyak RM20,000 yang dimasukkan Mohd Rozi Ibrahim, 53, ke akaun Bank Rakyat miliknya pada 27 Julai 2017, jam 5.14 petang di Taman Murni, Jalan Melang, Kuala Pilah.

Sementara tertuduh kedua pula membantu menyembunyikan wang sebanyak RM4,300 yang telah dimasukkan oleh Norasyima Mohd Saad, 35, ke akaun Agro Bank miliknya pada 15 Jun 2017 di Kuarters Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Muhammad Kuala Pilah.

Sehubungan itu, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang dihukum penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fuad Ramlan.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000 terhadap Muhammad Fadhli Afiq Rohizat dan turut berdepan penjara 20 bulan sekiranya gagal membayar denda, manakala Muhammad Khirul Anwar Mohd Darus dikenakan denda RM6,000 dan sekiranya gagal, tertuduh boleh dihukum 12 bulan penjara.

Artikel Berkaitan: