200 tindakan sepanjang Operasi Air Raya 2020

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Alam Sekitar dan Air menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melaksanakan 200 tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya sepanjang Operasi Air Raya 2020 yang bermula 14 Mei hingga 29 Mei lalu.

Menurut menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, antara tindakan yang telah diambil ialah kompaun sebanyak 71 kes, notis rrahan (113 kes), penahanan operasi kelengkapan (8 kes), premis yang digantung lesen (1 kes) dan kertas siasatan untuk tindakan mahkamah (7 kes).

"Operasi bertujuan mencegah pencemaran sungai sehingga boleh mengakibatkan gangguan kepada loji rawatan air.

"Ia juga bertujuan memastikan bekalan air terawat kepada pengguna tidak terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, kementeriannya juga telah melaksanakan penguatkuasaan ke atas 576 kilang iaitu punca pencemaran di seluruh negara termasuk 39 kilang yang dilesenkan oleh JAS seperti kilang kelapa sawit, kilang getah asli mentah dan pelupusan buangan terjadual.

Sepanjang operasi tersebut, ia melibatkan 478 anggota daripada agensi seperti JAS, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Badan Kawal Selia Air Negeri, Indah Water Konsortium dan pihak berkuasa tempatan yang lain.

"Susulan kejayaan Operasi Air Raya ini, pihak kementerian mengambil keputusan untuk melanjutkan operasi untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 13 Jun.

"Tempoh lanjutan ini mengambil kira potensi pencemaran terhadap sumber air dan saluran pembetungan yang akan berlaku apabila industri kecil dan perniagaan kembali beroperasi selepas cuti perayaan," katanya.

Artikel Berkaitan: