Tiada ugutan, tawaran kepada 46 Tok Batin

Fuziah (lima, kanan) selepas merasmikan program di Kampung Tanjung Api, hari ini.
Fuziah (lima, kanan) selepas merasmikan program di Kampung Tanjung Api, hari ini.
A
A
A

KUANTAN – Tiada sebarang usul ugutan atau tawaran terhadap 46 Tok Batin di Cameron Highlands supaya menyokong PH dalam sesi perjumpaan yang diadakan di sebuah hotel di Brincang, semalam.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Pahang, Fuziah Salleh berkata, sebaliknya ia adalah satu majlis dialog bersama beberapa pihak yang berkepentingan bagi membincangkan masalah Orang Asli di kawasan terbabit.

“Tidak timbul isu Tok Batin dipaksa dan dikurung dalam hotel untuk mengugut mereka untuk menyokong PH, malah tiada satu pun unsur ugutan, hasutan atau tawaran dibuat kepada mereka.

“Dalam majlis itu, calon PH (M Manogaran) juga tidak dibawa. Kita beritahu Tok Batin bahawa mereka adalah wakil kepada Orang Asli dan tidak sepatutnya timbul konflik walaupun ada jawatan dalam politik,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Khidmat Masyarakat ‘Seluas Budi, Seteguh Harapan’ di Dewan Komuniti Kampung Tanjung Api.

Semalam tersebar luas isu Tok Batin dipaksa dan dikurung dalam sebuah hotel di Brinchang dengan tujuan ‘memaksa’ menyokong dan memberi undi kepada calon PH PRK Parlimen Cameron Highlands.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, majlis yang diadakan semalam adalah program kerajaan dan mereka yang hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Kemajuan Orang Asli; Ketua Pengarah Jakoa, Datuk Ajis Sitin dan dua Senator iaitu Bod Manolan Mohd dan Isa Ab Hamid.

“Kita berdialog untuk memahami masalah Orang Asli seperti tidak mempunyai pendapatan tetap, masalah ekonomi, kemiskinan, isu perumahan yang daif, ketiadaan rumah transit terutama kepada wanita mengandung yang menunggu hari bimbang tidak sempat ke hospital kerana jarak jauh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kehadirannya pada majlis terbabit atas kapasiti timbalan menteri yang menjaga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia kerana jabatan itu adalah salah satu agensi yang terlibat secara aktif dalam isu berkaitan Orang Asli.

Sementara itu, Fuziah turut menasihatkan BN untuk belajar berkempen daripada PH

“Jangan buat silap dan belajar berkempen sebagai orang politik. Saya ambil cuti dan bawa kereta sendiri (untuk berkempen).

“Jangan salah guna jentera kerajaan. Saya pun tidak ada panggil guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) kerana saya tak mahu salah guna,” katanya.