Tun M turun Cameron Highlands, BN tak gentar

KJ beramah mesra dengan penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Ruil. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
KJ beramah mesra dengan penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Ruil. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Jentera BN tidak gentar dengan kehadiran Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijangka turun membantu kempen PH di saat akhir.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, sebaliknya BN sedia berdepan dengan sesiapa saja lawan mereka.

"Saya difahamkan Tun Mahathir akan turun pada hari-hari akhir kempen di Felda Sungai Koyan yang jadi tumpuan dua-dua pihak kerana banyak undi di situ. Tapi BN akan terus dengan strategi kempen kita, tak gentar dengan siapa pun yang turun.

"Cuma luar biasa sikit sebab dulu Perdana Menteri jarang turun PRK. Ini mungkin menggambarkan PH ambil serius dan cemas dengan pendekatan BN setakat ini," katanya kepada media selepas mengunjungi penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Ruil, Tanah Rata, di sini, hari ini.

Bekas Ketua Pemuda Umno itu juga berpuas hati dengan kerjasama kempen antara BN dan Pas dalam PRK ini.

"Setakat ini tiada masalah, malah malam ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi akan sepentas dengan pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan.

"Kedua-dua parti dilihat dapat zahirkan kerjasama taktikal. Ini bukan gabungan tapi kerjasama taktikal untuk tujuan PRK," katanya.

Ditanya mengenai kempen PH yang menggunakan isu lama seperti 1MDB dan hutang, Khairy berkata, PH hanya mahu menutup kelemahan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Mereka cuba ungkit isu lama sebab segala janji untuk lihat kos sara hidup lebih rendah tidak jadi kenyataan.

"Rakyat mengeluh harga barang tak turun. Jadi PH terpaksa dendang lagu lama 1MDB dan hutang negara sebab tiada apa yang baru untuk disajikan kepada rakyat," katanya.