Kelantan tanggung bawa pulang 887 pelajar jalani kuarantin di KL

Dr Mohamed Fadzli Hassan
Dr Mohamed Fadzli Hassan
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan membuat keputusan untuk menanggung perbelanjaan membawa pulang seramai 887 pelajar Kelantan di Mesir yang kini berada di Kuala Lumpur bagi menjalani tempoh kuarantin akibat wabak koronavirus (Covid-19).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, jumlah keseluruhan pelajar Kelantan di Mesir ialah seramai 1,674 orang, namun hanya 887 orang yang sudah pulang ke Malaysia.

“Mesyuarat Exco Kerajaan hari ini memutuskan akan menanggung perbelanjaan membawa pulang pelajar-pelajar tersebut iaitu dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu setelah mereka menjalani kuarantin di mana-mana pusat kuarantin di Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di JKR10 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fadzli berkata, turut timbul isu ada kalangan ibu bapa yang mahu kerajaan negeri membawa pulang baki 787 orang pelajar yang masih belajar di Mesir kerana faktor keselamatan.

Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut akan dibincangkan terperinci dengan pihak Kedutaan Malaysia di Kaherah, selain mendapatkan nasihat daripada Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan di Timur Tengah.

“Kita akan minta panduan, nasihat dan maklumat lanjut melibatkan pandangan mereka sama ada perlu bawa mereka pulang atau tidak. Sekarang ini pun kita sentiasa memantau dan kita terima laporan setiap hari.

“Buat masa sekarang ini keadaan masih terkawal dan pelajar-pelajar kita dalam keadaan kuarantin, kita juga telah bagi bantuan peralatan dan makanan. Selanjutnya sama ada perlu atau tidak kerajaan bawa balik pelajar-pelajar ini, itu bergantung kepada nasihat pihak kedutaan nanti,” katanya.

Beliau juga memaklumkan lapan pelajar Kelantan di Mesir disahkan positif Covid-19 dan sedang menjalani rawatan di Kuala Lumpur dan ada yang sudah sembuh sepenuhnya.

Artikel Berkaitan: