Kadar pengangguran dijangka meningkat: Anwar

Anwar menggesa kerajaan mengambil tindakan agresif dan melihat semula kerangka ekonomi secara menyeluruh.
Anwar menggesa kerajaan mengambil tindakan agresif dan melihat semula kerangka ekonomi secara menyeluruh.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk melihat semula kerangka ekonomi negara secara menyeluruh susulan beberapa laporan menunjukkan unjuran pengangguran dalam negara dijangka akan terus meningkat sehingga 13 peratus.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menurut laporan Malaysia Economic Survey Review yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia, dilaporkan unjuran pengangguran kini hampir 3.5 peratus bagi tempoh permulaan koronavirus (Covid-19) iaitu pada Mac dan April.

Beliau berkata, unjuran pengangguran dikeluarkan oleh Malaysian Institute of Economic Research pula menunjukkan kadar itu akan terus meningkat sehingga mencecah 9.2 peratus menjelang akhir tahun.

Katanya, Malaysia Employers Federation pula menjangkakan unjuran pengangguran di negara ini akan menjadi lebih parah dan meningkat sehingga13 peratus.

"Jika melihat kepada laporan itu, (jangkaan) mungkin setengah juta atau satu juta rakyat Malaysia akan menganggur atau dibuang kerja dan ia sangat merunsingkan.

"Apabila hilang pekerjaan, hilang pendapatan, sewa tak boleh bayar, persekolahan anak-anak terjejas dan sudah tentu ekonomi juga tidak akan berkembang," katanya menerusi Facebook Live PKR hari ini.

Anwar ketika mengulas berhubung unjuran pengangguran yang dijangka terus meningkat sehingga hujung tahun.
Anwar ketika mengulas berhubung unjuran pengangguran yang dijangka terus meningkat sehingga hujung tahun.

Anwar berkata, justeru, beliau mengusulkan agar kerajaan mengambil beberapa langkah segera untuk melihat kerangka ekonomi secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang ini kita belum kemukakan langkah lain selain daripada pakej rangsangan ekonomi.

"Tapi tentang penyelesaian masalah ini, saya tahu ada keterbatasan dari segi ekonomi, masalah PKP (perintah kawalan pergerakan), masalah keselamatan dan kesihatan, tapi kerajaan harus mengadakan sesi perbincangan yang lebih meluas secepat mungkin," katanya.

Tegasnya, ia bagi merangka satu garis panduan kerangka ekonomi bagaimana untuk menyelesaikan dan menggerakkan ekonomi awalan dengan cara terbatas tanpa menjejaskan kesihatan serta keselamatan rakyat.

Menurutnya, ia juga bertujuan mengurangkan beban mereka dan semua pihak juga diingatkan untuk tidak melihat unjuran pengangguran itu sebagai angka tetapi perlu menilai maksud di sebaliknya.

"Jika sejuta orang hilang pekerjaan bermakna sejuta keluarga akan menanggung beban sehingga akhir tahun jika tiada langkah-langkah agresif dan berani dibuat.

"Jadi kerajaan perlu fokus tentang pertambahan ekonomi serta gerak kerja ekonomi untuk menyelesaikan sebahagian daripada masalah ini," katanya.