X

Kindly register in order to view this article
!

UMNO rancang jatuhkan Muhyiddin? - A Kadir Jasin

A Kadir Jasin
A
A

SHAH ALAM - Ketika keadaan politik negara masih tidak stabil, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat bahawa parti berkenaan telah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), A Kadir Jasin mempersoalkan kesediaan UMNO itu jika ia bermaksud parti dipimpin Ahmad Zahid itu merancang mencetuskan pilihan raya lebih awal.

“Adakah UMNO, Barisan Nasional (BN) sudah bersedia menjatuhkan kerajaan Melayu-Islam Perikatan Nasional pimpinan (Perdana Menteri, Tan Sri) Muhyiddin Mohd Yassin bagi memaksa PRU15 diadakan lebih awal?

“Bubarkan Parlimen dan adakan pilihan raya umum lebih awal adalah mantera UMNO. Atau adakah kedua-dua mereka hendak membayangkan dan meyakinkan penyokong bahawa mereka akan lepas kes jenayah di mahkamah?,” kata Kadir di Facebooknya hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Najib, Ahmad Zahid bincang persediaan PRU15

Terdahulu, kesediaan Presiden UMNO itu dinyatakan selepas Ahmad Zahid menerima kunjungan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kediamannya malam tadi berdasarkan gambar dimuat naik di Facebook Ahmad Zahid hari ini.

Mengulas lanjut, A Kadir memberi gambaran sekiranya PRU15 diadakan lebih awal, UMNO dan BN tidak rugi apa-apa.

“Mereka kalah PRU14 tapi Muhyiddin pungut mereka dari pinggiran politik dan anugerahkan mereka jawatan menteri, menteri besar dan GLC. Muhyiddin memberi mereka kuasa eksekutif dan sekali gus mengiktiraf Muafakat Nasional UMNO-Pas.

“Dengan kekuatan jawatan menteri, menteri besar dan GLC yang Muhyiddin berikan itu, UMNO dan Pas kini mempunyai kekuatan menentukan kekal atau jatuh kerajaan Perikatan Nasional,” kata A Kadir lagi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus