Sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara 7 Julai ini

Saifuddin (kiri) ketika mempengerusi mesyuarat Sambutan Ulangtahun Ke-50 Rukunegara bersempena sambutan Bulan Merdeka dan Kebangsaan 2020, di Putrajaya, hari ini
Saifuddin (kiri) ketika mempengerusi mesyuarat Sambutan Ulangtahun Ke-50 Rukunegara bersempena sambutan Bulan Merdeka dan Kebangsaan 2020, di Putrajaya, hari ini
A
A
A

PUTRAJAYA - Sambutan Ulangtahun Ke-50 Rukun Negara bersempena sambutan Bulan Merdeka dan Kebangsaan 2020 dijadualkan diadakan pada 7 Julai ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, matlamat sambutan ini bagi menyemarakkan nilai perpaduan dan penghayatan terhadap Rukunegara dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Bagaimanapun, sambutan kali ini akan dilakukan secara maya dan disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

"Pada hari sambutan itu nanti, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyampaikan perutusan khas dan akan membaca ikrar Rukunegara," katanya ketika mempengerusikan mesyuarat sambutan di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Suriani Ahmad; Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Nor Yahati Binti Awang; Pengerusi Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Suhaimi Sulaiman; Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf dan Pengerusi TV Alhijrah, Datuk Hussamuddin Yaacub; Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dan beberapa agensi serta kementerian lain.

Tambah Saifuddin, Perdana Menteri turut dijadualkan mengadakan sesi dialog dengan mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta (IPTS) yang turut dilakukan atas talian.

Sementara itu, ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19), sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini akan tetap dijalankan dalam suasana baru berbanding kebiasaan sebelum ini.

Saifuddin berkata, walaupun tiada sambutan lazim di Dataran Merdeka tetapi sambutan tetap akan diatur sama ada secara virtual atau sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengatur program sambutan.

"Apa yang penting, pengertian dan kefahaman rakyat Malaysia tentang Rukun Negara harus ditingkatkan dan disemat dalam hati agar kita semua menjadi warganegara yang bertanggungjawab sayangkan negara.

"Perpaduan antara pelbagai kaum di negara ini menjadi keutamaan dan penghayatan berpanjangan harus dijiwai setiap warganegara sama ada melalui pendidikan formal atau tidak formal," tambah beliau lagi.