Garis panduan buka semula sekolah diedar esok

Menteri Kanan (Kluster Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin menunjukkan buku Garis Panduan Pengurusan Sekolah Pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika melakukan lawatan kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engku Husain. - Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin menunjukkan buku Garis Panduan Pengurusan Sekolah Pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika melakukan lawatan kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engku Husain. - Foto Bernama
A
A
A

KAJANG - Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah akan diedarkan mulai esok bagi membolehkan pihak sekolah dan guru-guru membuat persediaan sewajarnya, kata Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata, garis panduan berhubung pergerakan pelajar di dalam sekolah bermula daripada setibanya pelajar itu di sekolah hingga mereka pulang telah dihasilkan secara terperinci bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kita keluarkan garis panduan ini bagi melihat apakah kaedah yang perlu dilakukan dalam konteks pembukaan sekolah dan persiapan sewajarnya harus dilakukan oleh pihak sekolah bagi memastikan bila sahaja kita umumkan pembukaan maka setiap sekolah telah bersedia.

"Kementerian sentiasa berbincang dengan pihak sekolah iaitu ruang yang boleh ditambah baik dalam garis panduan itu akan kita lakukan. Apa yang penting semua pihak mainkan peranan iaitu pengurusan sekolah, guru termasuk ibu bapa misalnya, jika anak bergejala tidak perlu hantar ke sekolah," katanya.

Beliau yang juga menteri kanan berkata demikian kepada Bernama selepas melakukan lawatan kerja bagi persediaan pembukaan semula sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, Semenyih di sini hari ini.

Dr Mohd Radzi Md Jidin (tengah) memberi penerangan berkenaan pembelian makanan pelajar mengikut garis panduan ketika melakukan lawatan kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engku Husain, Kajang. - Foto Bernama
Dr Mohd Radzi Md Jidin (tengah) memberi penerangan berkenaan pembelian makanan pelajar mengikut garis panduan ketika melakukan lawatan kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engku Husain, Kajang. - Foto Bernama

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah; Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Mohd Rabin Basir dan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim.

Mohd Radzi berkata, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah akan memainkan peranan memantau sekolah bagi memastikan garis panduan yang disediakan dipatuhi.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga akan singgah di sekolah-sekolah untuk melihat pelaksanaan garis panduan yang telah diadakan dan kita yakin pihak pengurusan sekolah dan juga guru akan bantu kementerian agar garis panduan ini akan dipatuhi," jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, ibu bapa tidak perlu risau menghantar anak mereka ke sekolah selain perlu memainkan peranan mendidik anak-anak mendisiplinkan diri sekurang-kurangnya dengan sentiasa mengamalkan penjarakan sosial.

Ditanya mengenai bila sesi persekolahan akan bermula, beliau menegaskan, setakat ini masih tiada tarikh yang ditetapkan dan pihaknya bekerjasama rapat bersama KKM dan MKN untuk memutuskan perkara itu.

"Apabila KKM dan MKN merasakan sudah sampai masanya sekolah dibuka maka kita akan umumkan dua minggu sebelum ia dibuka, kami belum menetapkan sebarang tarikh untuk pembukaan sekolah," katanya.

Menurutnya, pembukaan sekolah kelak hanya melibatkan pelajar Tingkatan 5 dan 6 sahaja dengan hampir 3,000 sekolah menengah di seluruh negara yang akan dibuka. - Bernama