Pasar raya besar di Shah Alam premis pertama di Selangor diarah tutup

Dr Sha’ari Ngadiman
Dr Sha’ari Ngadiman
A
A
A

SHAH ALAM- Sebuah pasar raya besar di Seksyen 13 di sini menjadi premis perniagaan pertama di Selangor diarah tutup selama lapan hari apabila dikesan beroperasi dengan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, arahan penutupan yang berkuat kuasa semalam sehingga 8 Jun, dikeluarkan pihaknya hasil pemantauan dilakukan unit penguat kuasa jabatan berkenaan.

Beliau berkata, tempoh lapan hari yang diberikan kepada pengusaha premis perniagaan itu dilihat memadai bagi mereka memastikan pengoperasian pasar raya besar terbabit mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Dalam situasi penularan wabak koronavirus (Covid-19) ketika ini, mereka seharusnya lebih peka untuk menjaga kebajikan pelanggan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya penutupan operasi pasar raya besar itu juga diharap menjadi pengajaran kepada pengusaha premis perniagaan lain supaya lebih prihatin dengan perkembangan semasa wabak demi memutuskan rantaian penularan Covid-19 di negeri ini.

Dr Sha’ari berkata, unit penguat kuasa JKNS sentiasa menjalankan pemantauan di seluruh negeri ini bagi memastikan semua pihak khususnya premis perniagaan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Selain itu beliau turut menyarankan pengusaha premis perniagaan mengguna pakai aplikasi SELangkah yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Selangor sebagai usaha pengesanan kontak sekiranya wujud penularan wabak berkenaan di premis masing-masing.

Ditanya sama ada kegagalan pematuhan SOP oleh pengusaha pasar raya besar itu boleh menyebabkan pengusahanya dikenakan kompaun, Dr Sha’ari berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Antara SOP dikeluarkan kerajaan yang harus dipatuhi pengusaha perniagaan untuk beroperasi sepanjang pelaksanaan PKPB adalah penjarakan sosial, mengehadkan jumlah pelanggan di dalam premis, dan mengambil suhu badan pengunjung.

Terdahulu, satu foto yang tular di media sosial mengenai notis penutupan pasar raya besar berkenaan menimbulkan persoalan dalam kalangan warga maya yang tinggal di sekitar premis perniagaan itu.

Notis itu memaparkan arahan penutupan premis mengikut subseksyen 18(1) (f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sementara itu, dua restoran di Seksyen 19 di sini dikompaun dan diarah tutup oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana tidak mematuhi SOP PKPB.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata restoran berkenaan didapati kotor, tidak melaksanakan amalan jarakan sosial, dan tidak mengguna pakai aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Selangor untuk pengesanan kontak bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata arahan penutupan premis dikeluarkan dalam operasi hari ini, yang dilaksanakan susulan aduan diterima MBSA daripada orang ramai yang mengatakan terdapat banyak restoran di sekitar bandar raya ini tidak mematuhi SOP PKPB yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara.

“Jika pemilik premis ini mahu beroperasi semula, mereka perlu membuat akujanji untuk mematuhi SOP PKPB antaranya menyediakan alat pengimbas suhu badan dan berdaftar dengan aplikasi SELangkah," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi pemantauan kedai makan di sini, hari ini.

Operasi berkenaan merupakan operasi bersepadu yang turut melibatkan Polis Diraja Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah Shah Alam dan Angkatan Tentera Malaysia.- Bernama