Harap pindaan Akta Pengangkutan Jalan diluluskan sidang Dewan Rakyat

Salleh Buang
Salleh Buang
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat meletakkan harapan tinggi supaya pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dapat dibentang untuk dibahas dan diluluskan dalam Sidang Dewan Rakyat pada Julai depan.

Mesyuarat Kedua bagi Penggal Ketiga Sidang Dewan Rakyat tahun ini akan berlangsung selama 25 hari bermula 13 Julai hingga 27 Ogos.

Pakar Undang-undang, Profesor Datuk Salleh Buang berkata, cadangan pindaan akta itu perlu dibawa sebagai salah satu usul utama dan setakat ini terdapat dua Rang Undang-Undang (RUU) yang menjadi keutamaan kerajaan untuk dibentang dan dibahaskan.

“Dua RUU berkenaan ialah RUU Pelaksanaan Langkah Sementara bagi mengurangkan impak penularan Covid-19 (koronavirus) dan RUU Perbekalan Tambahan 2019 dan 2020.

“Selepas itu, baru undang-undang lain seperti Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) untuk hukuman lebih berat bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.

“Kementerian Pengangkutan perlu segera merangka pindaan akta ini. Jika semua pihak segera melakukan tugas masing-masing, saya rasa pindaan akta ini berkemungkinan dapat diluluskan dalam persidangan Julai depan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Salleh berkata, kelulusan sebarang pindaan undang-undang perlu melalui proses tiga kali bacaan di Dewan Rakyat sebelum diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, Peguam Negara akan mewartakan undang-undang terbabit bagi membolehkan ia dikuatkuasakan.

Artikel Berkaitan:

“Cadangan pindaan Akta 333 belum lagi masuk dalam giliran usul. Setiap usul perlu mengikut giliran,” katanya.

Mengikut undang-undang sedia ada, bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.