X

Kindly register in order to view this article
!

PDRM pertingkat Op Mabuk di setiap negeri

Azisman Alias
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mempertingkatkan operasi Op Mabuk di setiap negeri bagi menangani kesalahan membabitkan pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, tindakan penguatkuasaan itu telah dipertingkatkan sejak kes kemalangan sehingga membabitkan kematian Sarjan Safwan Muhammad Ismail, 31.

"Kita telah mengambil tindakan tegas ke atas pemandu yang dikesan terbabit dengan kesalahan sedemikian.

"Diingatkan, usah memandu ketika mengambil alkohol," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sudah mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Arahan itu sebagai maklum balas kepada keresahan rakyat mengenai kes kemalangan akibat pemandu mabuk yang mana statistik polis sepanjang lima bulan pertama tahun ini sebanyak 21 kes membabitkan pemandu mabuk dicatatkan yang mana lapan mangsa meninggal dunia.

ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga Koperal Safwan harap pelaku kena hukuman setimpal

Pada 3 Mei lalu, Sarjan Safwan yang melakukan tugasan sekatan jalan raya Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya Lekas, Kajang, meninggal dunia selepas dirempuh pemandu mabuk dalam kejadian kira-kira jam 2.11 pagi.

Selain itu, pada 22 Mei, polis menahan seorang pemandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dikesan memandu secara melulu, dipercayai di bawah pengaruh alkohol di kawasan tapak peniaga di Bukit Sentosa, dekat Hulu Selangor.

Malah, pada 26 Mei lalu, seorang lelaki maut selepas keretanya dirempuh sebuah kereta lain yang dipandu melawan arus, dipercayai akibat pengaruh alkohol, di Jalan Pintasan Kuantan, Pahang.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus