Pengerusi BN adalah Presiden UMNO: Annuar

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Parti-parti dalam Barisan Nasional (BN) sebulat suara menetapkan untuk meneruskan konvensyen dan konsensus bahawa ketua gabungan itu dipegang oleh Presiden UMNO.

Demikian tegas Setiausaha Agung gabungan itu, Tan Sri Annuar Musa yang mengatakan keputusan sebulat suara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang diadakan bulan lalu.

"BN dalam mesyuarat Dewan Tertingginya bulan lalu telah menetapkan sebulat suara bahawa secara konvensyen dan konsensus, Presiden UMNO adalah Pengerusi Barisan Nasional," katanya dalam catatan di Twitternya hari ini.

Walaupun tidak disebutkan kenyataan itu merujuk kepada mana-mana sumber, namun Annuar dipercayai bertindak balas terhadap desakan berhubung Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik sebagai Pengerusi BN.

Sinar Harian semalam melaporkan, terdapat desas-desus kononnya ada desakan supaya bekas Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Pekan itu dilantik sebagai Pengerusi BN.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada gerakan naikkan kembali Najib

Difahamkan, usaha melobi jawatan tersebut sedang dilakukan bagi membolehkan Najib mendapat kembali jawatan yang pernah dipegang beliau sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Percubaan tersebut bukanlah kali pertama kerana tahun lalu Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mendedahkan Najib pernah meminta supaya dijadikan sebagai Pengerusi BN.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyokong sekiranya Najib diberikan jawatan tersebut bagi menguatkan BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Jamal berpandangan jawatan itu perlu diberikan kepada Najib kerana peranannya kini sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN dilihat agak minimum.

Bagaimanapun bekas Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin merasakan hal ehwal dalaman parti perlu diserahkan kepada mereka yang berjawatan, berdasarkan hierarki.

Namun, Raja Nong berpandangan bahawa Najib boleh bertanding dalam pemilihan parti itu apabila sampai masanya iaitu setelah selesai menjalani proses perbicaraannya di mahkamah.