Penyelarasan bil air ikut kaedah SPAN

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

CYBERJAYA - Operator bekalan air dikehendaki membuat penyelarasan bil pada akaun pengguna mengikut ketetapan kaedah pengiraan bil air sepanjang pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Mengulas aduan peningkatan bil air semasa PKP, SPAN memaklumkan pengguna diminta untuk menjelaskan bil air masing-masing dan jika terdapat lebihan caj setelah penyelarasan dibuat, ia akan direkodkan dalam akaun pengguna untuk bulan seterusnya.

"Bagaimanapun, sekiranya pengguna merasakan bahawa caj yang dikenakan adalah tidak munasabah dan memerlukan penjelasan lebih terperinci, pengguna dinasihatkan menghubungi operator air masing-masing atau mengemukakan aduan ke aduan@span.gov.my," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

SPAN menjelaskan secara amnya, pengguna domestik menggunakan air lebih banyak daripada biasa semasa tempoh PKP berpunca daripada aktiviti rutin yang tertumpu di kediaman masing-masing.

Di samping itu, katanya, bil air bagi bulan Mei 2020 adalah lebih tinggi daripada biasa memandangkan ianya merangkumi penyelarasan bil bagi bulan Mac dan April.

"Bil yang dikeluarkan pada bulan Mac dan April ini adalah mengikut bacaan secara anggaran kerana operator agihan air tidak membuat bacaan meter sepanjang tempoh pelaksanaan PKP," menurut kenyataan itu.

Menurut SPAN, setelah pembacaan meter secara fizikal dibuat oleh operator agihan air pada akhir bulan Mei, pengiraan bil dibuat dengan mengambil kira penyelarasan bil anggaran bulan Mac dan April 2020. - Bernama

Artikel Berkaitan: