Bekas pemain bola sepak Terengganu terima bantuan Perkeso

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Nasib bekas pemain bola sepak Terengganu pada era 90-an, Mohd Fadali Jalil yang kini terlantar sakit terbela apabila menerima pelbagai bantuan perubatan dan pemulihan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu hari ini.

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, Mohd Fadali, 53, yang menghidap penyakit saraf dan jangkitan kuman akibat kencing manis serta hilang keupayaan kekal sejak Januari lepas menerima bantuan kerusi roda boleh laras, tilam angin serta lampin pakai buang.

“Hasil semakan kita mendapati caruman beliau semasa bermain dengan pasukan bola sepak Terengganu pada era 90-an dahulu melayakkan beliau memohon pencen ilat dan bantuan pemulihan.

“Selain daripada yang diterima hari ini, Mohd Fadali akan menerima sebuah lagi kerusi roda, katil perubatan dan sebuah lagi tilam yang akan dibekalkan terus ke rumahnya oleh pembekal nanti,” katanya kepada pemberita ketika melawat Mohd Fadali di kediamannya di Kampung Bukit Besar di sini hari ini.

Farihah berlata, pada Februari lepas Mohd Fadali turut menjalani pembedahan implan yang bernilai RM13,700 yang ditanggung sepenuhnya oleh pihak Perkeso.

Dalam pada itu, Mohd Fadali yang juga bapa kepada lima anak itu melahirkan rasa syukur apabila pelbagai pihak tampil membantu beliau yang kini tidak lagi mampu bekerja dan mencari nafkah buat keluarganya.

“Terima kasih banyak-banyak kepada mereka yang membantu dan mendoakan kesihatan saya selama ini, saya rasa cukup gembira kerana ada yang tampil membantu dari segi kos perubatan,” katanya.

Sementara itu, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah yang turut menyertai lawatan tersebut berkata, kerajaan negeri akan meneliti bantuan yang boleh diberikan kepada bekas atlet di negeri ini yang berhadapan masalah kesihatan dan kewangan.

Artikel Berkaitan:

“Salah satu inisiatif yang dapat kita bantu adalah melalui Tabung Darul Iman atau Skim Kad Sejahtera yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri sekiranya diperlukan,” katanya. - Bernama