Hidup serba daif sejak hidap pundi hempedu kronik

Mohamad Fauzi (kanan) menziarahi Rahman (kiri) yang menetap di sebuah pondok kecil tanpa kemudahan bekalan air dan elektrik di Lorong 3 Tebuk Jaya, Parit 13 di sini.
Mohamad Fauzi (kanan) menziarahi Rahman (kiri) yang menetap di sebuah pondok kecil tanpa kemudahan bekalan air dan elektrik di Lorong 3 Tebuk Jaya, Parit 13 di sini.
A
A
A

SUNGAI PANJANG - Seorang pesakit pundi hempedu kronik yang menetap di Lorong 3 Tebuk Jaya, Parit 13 di sini, hidup serba daif apabila hanya tinggal di sebuah pondok kecil tanpa kemudahan bekalan air dan elektrik.

Rahman Sahran, 51, berkata, dia tidak berkemampuan untuk hidup lebih selesa memandangkan penyakit dialami sejak setahun lalu.

Malah, katanya, dia juga menjaga seorang anaknya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal saraf, Muhammad Arif Hakimi,18, bersendirian selepas berpisah dengan bekas isteri.

"Walaupun dalam keadaan kudrat saya terhad kerana tidak mampu melakukan kerja berat, tetapi demi anak saya kuatkan semangat untuk menempuh segala dugaan dihadapi," katanya kepada Sinar Harian.

Rahman berkata, ketika ini dia hanya mampu mencari rezeki dengan keluar mencari belut di sawah pada setiap malam.

"Pendapatan saya memang tidak menentu, mungkin hari ini boleh dapat hasil lebih, tetapi esok atau lusa pula berkurangan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Rahman, keadaan bertambah teruk apabila peraih tidak lagi datang membeli belut berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Jualan belut jauh merosot disebabkan kebanyakan restoran dan kedai makan tidak dibuka hingga pendapatan saya terjejas teruk," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia terpaksa mengambil keputusan berpindah ke pondok itu sejak lebih setahun lalu kerana tidak mampu membayar sewa rumah.

"Saya juga terpaksa menumpangkan anak di rumah seorang warga emas setiap kali saya keluar mencari belut," katanya.

Ujarnya, adakalanya dia berasa takut tinggal di pondok itu kerana bukan sahaja terdedah dengan gigitan nyamuk, malah berdepan serangan haiwan berbisa.

"Sudah banyak kali juga saya terserempak dengan ular di belakang rumah pada waktu malam dan bimbang jika reptilia itu masuk ke dalam rumah," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubunginya di talian 019-3173500 atau menyalurkan ke dalam akaun CIMB atas nama Rahman Sahran melalui nombor 7623139720.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parit 13 Sungai Panjang, Mohamad Fauzi Saladri berkata, nasib menimpa Rahman itu turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimin Yahaya.

Katanya, Muslimin telah menziarahi penduduk terbabit dan sedang berusaha membantu keluarga berkenaan.

"Sebarang permohonan bantuan masih dalam tindakan dan kita berharap nasib keluarga ini terbela," katanya.