Kedudukan PN, Muhyiddin sukar diramal

Mustafa Ali
Mustafa Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Kedudukan politik Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih belum teruji dan sukar diramal sepenuhnya, kata veteran Pas, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pas berkata, kemampuan PN untuk terus bertahan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga masih terlalu awal untuk diramal.

"Beginilah, kedudukan (PN) saya sebut secara umum. Di mana proses-proses politik ini masih sedang bergerak di Malaysia ini, satu kedudukan yang memang tidak begitu stabil. Jadi kita kena tunggu lagi, perkembangan masih berjalan, dinamika politik ini masih berterusan dan tiada siapa boleh menjangka secara pasti apa yang boleh berlaku, boleh jadi macam-macam.

"PN ini masih baharu dan belum diuji sepenuhnya sama ada mampu atau tidak PN bertahan sehingga PRU15 juga bergantung kepada proses yang sedang berjalan ketika ini," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kemelut melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) antara Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir Mohamad mampu mempengaruhi kestabilan PN.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata, beliau tidak mengikuti secara dekat mengenai urusan dalaman Bersatu, namun berpandangan proses politik yang tidak stabil mampu memberi kesan kepada kerajaan PN.

Terdahulu, Dr Mahathir yang mendakwa dirinya masih Pengerusi Bersatu bersama empat lagi pemimpin dipecat keahliannya daripada parti itu.

Empat yang lain ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan surat yang diedarkan kepada media sebelum ini, kelima-lima mereka dipecat atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Semalam, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut menjelaskan bahawa bekas Perdana Menteri itu bukan lagi pengerusi parti itu.

Sebaliknya, keahlian Ahli Parlimen Langkawi itu terhenti selepas beberapa tindakan yang dilakukan oleh Dr Mahathir dilihat telah melanggar perlembagaan parti.

ARTIKEL BERKAITAN: Keahlian terlucut serta-merta bukan dipecat: Muhyiddin