387 PATI di depot positif Covid-19

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 387 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di empat Depot Tahanan Imigresen (DTI) dikesan positif wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini hanya seorang rakyat Malaysia iaitu kakitangan pentadbiran di pusat tahanan tersebut yang didapati positif wabak berkenaan manakala selebihnya warga asing.

“Kluster DTI Bukit Jalil merekodkan 283 kes positif daripada 1,545 sampel yang diambil dan DTI Semenyih, 66 positif termasuk seorang kakitangan pusat tahanan itu.

“Kluster DTI Sepang, merekodkan 36 kes positif daripada 1,477 sampel yang diambil dan dua kes positif dikesan di Depot Tahanan Sementara Imigresen (DTSI) Putrajaya,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Ditanya sama ada DTSI Putrajaya turut diklasifikasikan sebagai kluster baharu, Dr Noor Hisham menjelaskan setakat ini belum diletakkan dalam kategori tersebut.

“Kita kesan ada dua kes positif di situ dan setakat ini kita belum klusterkan (DTSI) tetapi kita tengah kaji dari mana punca jangkitan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan seramai 26 PATI positif Covid-19 yang sedang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh akan dipindahkan semula ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Katanya, ia susulan insiden seorang daripada mereka melarikan diri daripada wad namun berjaya ditahan semula pagi semalam.

Artikel Berkaitan:

“Atas faktor keselamatan, 26 PATI itu akan dimasukkan semula ke MAEPS kerana pusat itu mempunyai kawalan sistem keselamatan yang ketat.

“Hanya rakyat tempatan dan pekerja asing yang mempunyai permit kerja yang sah sahaja akan ditempatkan di Hospital Sungai Buloh untuk rawatan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bekerjasama rapat dengan pihak polis dan pegawai Imigresen untuk menyiasat bagaimana lelaki itu dapat melarikan diri daripada wad.

“Kita juga akan meningkatkan sistem kawalan keselamatan di MAEPS selain memberi tumpuan untuk sediakan rawatan terbaik kepada mereka di situ,” katanya.