Nelayan dikhuatiri hilang di laut

Koordinat operasi SAR demi mencari nelayan dikhuatiri hilang di muara Kuala Kedah, semalam.
Koordinat operasi SAR demi mencari nelayan dikhuatiri hilang di muara Kuala Kedah, semalam.
A
A
A

KUALA KEDAH - Seorang nelayan dikhuatiri hilang apabila bot ditemui tanpa pengemudi di muara Kuala Kedah semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Laut Kuala Kedah pada jam 5 petang semalam.

Mahmad Faizal berkata, mangsa, Nordin Saad, 52, dikatakan menangkap ikan sendirian di kawasan perairan terbabit kira-kira jam 7 pagi.

"Susulan itu, Maritime Rescue Sub- Centre (MRSC) Langkawi segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Sebuah bot digerakkan Maritim Malaysia ke kawasan yang dilaporkan sejurus menerima laporan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, bot mangsa ditemui dalam keadaan masih berpusing tanpa pengemudi sebelum dibawa ke jeti berhampiran dan diserahkan kepada waris mangsa.

Katanya, operasi SAR disambung semula membabitkan anggota dan aset dari Polis Diraja Malaysia ( PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia ( APM), Jabatan Perikanan Malaysia dan beberapa bot nelayan tempatan pagi tadi.

Mahmad Faizal berkata, sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 047310579.

Artikel Berkaitan: