X

Kindly register in order to view this article
!

Gajah liar: Tunggu tindakan kerajaan negeri pula

Mohd Zakhwan (kiri) meninjau kesan kerosakan melibatkan tanaman penduduk akibat gajah liar malam kelmarin.
A
A

JERANTUT - Gangguan gajah liar di beberapa kampung di sekitar Kuala Tahan sejak tahun lalu sudah dirujuk kepada kerajaan negeri untuk tindakan penyelesaian demi keselamatan nyawa dan harta benda penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, beliau sendiri memaklumkan berhubung isu tersebut kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

"Saya dimaklumkan sepanjang tahun 2019, lebih 50 kali gangguan gajah liar berlaku di kawasan ini termasuk di Kampung Gol dan Perkampungan Asli Sungai Tiang.

"Tahun ini pula, gajah-gajah menceroboh beberapa kampung lain termasuk kawasan Kampung Labu, Lubuk Payung, Ulu Retang, Kampung Rebus dan menghampiri Ladang Felda Padang Piol," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kejadian terbaharu berlaku pada 27 Mei lalu di Kampung Gol menyebabkan banyak tanaman penduduk rosak dan penduduk berdepan ancaman keselamatan apabila haiwan itu menceroboh kawasan rumah.

Antara tanaman penduduk yang dirosakkan gajah liar yang menceroboh masuk kawasan kampung.
Antara tanaman penduduk yang dirosakkan gajah liar yang menceroboh masuk kawasan kampung.

"Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, penduduk turut panik apabila gajah berkenaan masuk dan menghampiri kediaman serta merosakkan tanaman.

"Difahamkan gajah liar yang sering menceroboh kampung ini hanya seekor tapi di kawasan lain melibatkan kawanan gajah lebih 10 ekor," katanya.

Katanya, masalah itu sudah diadukan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan tindakan segera diambil setiap kali ada aduan daripada penduduk.

"Walaupun jabatan sudah menjalankan tugas mereka melalui pelbagai kaedah termasuk menghalau dan membuat pemantauan bagi membendung masalah gangguan gajah liar terus berulang, namun haiwan berkenaan terus kembali untuk mencari makanan pada waktu malam.

"Kita percaya gajah-gajah ini dari kawasan hutan berhampiran dan masalah ini berlaku mungkin atas faktor habitat mereka yang semakin terjejas hingga terpaksa mencari makan di kebun sawit dan di kawasan berpenduduk," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus