Sindiket seleweng LPG kaut untung mudah

Sindiket penyelewengan gas petro­leum cecair (LPG) sentiasa menggunakan pelbagai kaedah untuk mendapatkan keuntungan mudah. Gambar kecil:Muhamad Zikril Azan.
Sindiket penyelewengan gas petro­leum cecair (LPG) sentiasa menggunakan pelbagai kaedah untuk mendapatkan keuntungan mudah. Gambar kecil:Muhamad Zikril Azan.
A
A
A

Sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) sentiasa menggunakan pelbagai kaedah untuk mendapatkan keuntungan mudah.

Bagaimanapun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua apabila taktik yang digunakan sering kali berjaya dihidu pihak berkuasa.

Biarpun sindiket ini beroperasi di lokasi ‘rahsia’, namun ia tidak mematahkan usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengesan sindiket terbabit yang mengaut untung berlipat ganda dengan memanipulasi subsidi yang diberi oleh kerajaan.

Mana tidaknya, berdasarkan kes yang dilaporkan di seluruh negara, kegiatan terbabit mampu mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit dalam satu kes dan sekiranya dikira secara keseluruhan, pastinya ia mencecah jutaan ringgit dan mungkin lebih daripada itu.

Ternyata, KPDNHEP di setiap peringkat daerah, negeri dan ibu pejabat akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan bagi memastikan kegiatan penyelewengan itu dihapuskan.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, lazimnya kegiatan itu didalangi oleh mereka yang tamak.

“Kegiatan penyelewengan ini menyebabkan kerajaan mengalami kerugian kerana ketirisan subsidi yang telah diberikan kerajaan.

“Hasil risikan dan maklumat yang diterima, kita dapati sindiket ini akan melakukan kerja penyelewengan di tempat atau kawasan tersorok seperti ladang kepala sawit, ladang getah dan seumpamanya,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Gas LPG yang dirampas sedang diperiksa oleh penguat kuasa KPDNHEP.
Gas LPG yang dirampas sedang diperiksa oleh penguat kuasa KPDNHEP.

Katanya, selain itu, berdasarkan rekod serbuan yang dilaksanakan sebelum ini, terdapat juga sindiket yang menyewa premis kilang bersaiz kecil atau sederhana yang bersifat sementara.

“Bagi mengaburi pihak berkuasa juga, mereka akan menutup sebahagian kilang bagi menampakkan ia seperti sebuah premis tinggal yang tidak lagi beroperasi.

“Lebih licik lagi, terdapat juga sindiket berkongsi premis dengan perniagaan lain malah ada juga yang beroperasi di kawasan perumahan,” kata beliau.

Dalang rakyat tempatan

Muhamad Zikril Azan berkata, kebiasaannya sindiket itu didalangi oleh warga tempatan dan mereka akan mengupah pekerja warga asing dengan bayaran tertentu untuk menguruskan proses terbabit.

Katanya, semakan juga mendapati kebanyakan tangkapan membabitkan warga asing terdiri daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan kesalahan imigresen lain.

Tambahnya, cecair tong gas LPG bersaiz 14 kilogram (kg) bersubsidi ini akan dipindahkan dan diseleweng ke dalam tong gas berkapasiti 50kg sebelum dijual ke premis industri pengilangan dengan harga bukan subsidi atau mengikut pasaran semasa.

“Hasil maklumat yang diterima, kegiatan penyelewengan ini telah berlaku sejak bertahun-tahun lamanya.

“Hasil operasi dan tindakan tegas KPDNHEP, kegiatan sindiket ini mula berkurangan. Maklumat orang ramai juga dilihat membantu KPDNHEP melaksanakan tindakan,” katanya.

Muhamad Zikril Azan turut memberi amaran agar mereka yang berkenaan tidak mengambil kesempatan dengan melakukan penyelewengan ke atas barangan bersubsidi terutamanya gas LPG kerana boleh menyebabkan kerajaan mengalami kerugian jutaan ringgit.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati melakukan kesalahan melalui undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda maksimum RM2 juta,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Sebarang aduan boleh disalurkan kepada kementerian melalui Portal eaduan@kpdnhep.gov.my, Call Centre 1800 886 800, Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my, aplikasi telefon pintar Ez ADU dan Enforcement Command Centre (ECC) Putrajaya 03-88826245/6088,” katanya.

Rugi RM1.717 bilion

Memetik laporan yang dikeluarkan pada Julai 2019, kerajaan Malaysia menanggung kerugian hampir RM1.717 bilion dalam tempoh dua tahun akibat penggunaan silinder LPG bersubsidi oleh pengguna bukan golongan sasar.

Muhamad Zikril Azan berkata, rumusan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 menyatakan kerugian ditanggung itu adalah dari tahun 2015 hingga 2017.

“Pemantauan fizikal audit mengesahkan perniagaan seperti dobi dan kedai makan menggunakan LPG bersubsidi dalam operasi harian perniagaan mereka walaupun sepatutnya menggunakan LPG komersial.

“Antara kelemahan dalam aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan adalah pelantikan pembekal LPG oleh Perbendaharaan tidak membabitkan sebarang perjanjian atau proses serta kaedah pembayaran subsidi daripada kerajaan kepada syarikat berkenaan.

“Audit juga mendapati wujud pembekal, pengedar dan peruncit LPG yang beroperasi tetapi sudah luput kebenaran di Bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Kebenaran PDA) dan Lesen Barang Kawalan Berjadual yang dikeluarkan KPDNHEP.

“Selain itu, aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan terhadap syarikat pembekal, pengedar utama dan sub pengedar bagi memastikan pematuhan terhadap akta/peraturan sukar dilaksanakan kerana tiada prosedur operasi standard (SOP) dan sistem khusus dibangunkan bagi melancarkan pengurusan subsidi,” kata beliau lagi.