X

Kindly register in order to view this article
!

Krisis Tun M, Muhyiddin: Ke mana arah Bersatu?

Gambar dari kiri: Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin
A
A

SHAH ALAM - Bukan sahaja soal sah atau tidak pengguguran keahlian Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetapi ke mana arah Bersatu selepas ini turut menjadi persoalan ahli parti itu.

Datuk Marzuki Yahya yang mendakwa beliau sebagai Setiausaha Agung Bersatu berkata, pemecatan Dr Mahathir menerusi surat yang dikeluarkan dan ditandatangani Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya semalam tidak sah.

“Tidak sah sama sekali. Itu tidak perlu dipertikaikan lagi. Itu sahaja,” katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Bagaimanapun Marzuki menafikan tanggapan bahawa wujud dua kumpulan dalam parti itu iaitu kumpulan yang menyokong Dr Mahathir dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menyifatkan perkara seperti itu berniat jahat.

“Tidak wujud dua puak dalam Bersatu. Ini semata-mata berniat jahat. Masalah antara Tun (Dr Mahathir) dan Tan Sri (Muhyiddin) boleh diselesaikan.

“Walau apa juga perselisihan di antara Presiden (Muhyiddin) dan Pengerusi (Dr Mahathir) ini bukan soal peribadi. Ini soal keputusan parti. Mereka perlu merujuk semula kepada keputusan parti,” katanya lagi.

Beliau berpegang teguh kepada keputusan parti itu yang dibuat sebelum pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan mendakwa Presiden Bersatu sendiri yang melanggar keputusan parti dan bukan Dr Mahathir.

Semalam berdasarkan surat yang diedarkan kepada media, Dr Mahathir bersama empat lagi ahli Parlimen Bersatu digugurkan atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Berdasarkan surat pemecatan dikeluarkan parti itu, selain Dr Mahathir, turut dipecat ialah Timbalan Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Tiga pemimpin lain dipecat keahlian ialah Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah yang dilihat sehaluan dengan Dr Mahathir.

Bersatu turut dikatakan melakar sejarah tersendiri pada 18 Mei lalu apabila wakil daripada satu parti berada di kedua-dua posisi kerajaan dan juga pembangkang. Keadaan itu tidak pernah berlaku dalam sejarah politik tanah air sebelum ini.

Muhyiddin yang memimpin gabungan PN bersama majoriti anggota Parlimen parti itu berada di kerusi kerajaan dan majoriti kecil yang bersama Dr Mahathir termasuk empat ahli Parlimen Bersatu yang digugurkan itu duduk bersama pembangkang.

Ini mungkin menjadi pemandangan ‘luar biasa’ dan belum pernah terjadi sebelum ini sekaligus memperlihatkan Bersatu mempunyai dua kumpulan kepimpinan berbeza dan tidak sehaluan.

Bagaimanapun ada pemimpin parti itu berpendapat bahawa Bersatu akan terus kekal sebagai sebuah parti seperti sebelum ini jika dipimpin oleh Dr Mahathir dan mempersoalkan kewibawaan Muhyiddin untuk membawa parti itu selepas bekerjasama dengan UMNO, Pas dan parti lain dalam PN.

Sebagai contoh, Ahli Majlis tertinggi Bersatu dan penyokong kuat Dr Mahathir, Abu Bakar Yahya berkata, Bersatu akan terus kekal sebagai sebuah parti seperti mana sebelum ini iaitu ketika bersama Pakatan Harapan sekiranya diterajui oleh Dr Mahathir.

“Pada saya tiada masalah, kalau kata mengikut cara Tun (Dr Mahathir), Bersatu akan kekal ada. Kalau mengikut Tan Sri Muhyiddin (dia) hendak bawa ke mana? Perikatan Nasional? UMNO sendiri cakap tak ada (istilah) Perikatan Nasional, UMNO tetap dengan Muafakat Nasional.

“Bersatu hendak ke mana? Mahu bertanding dalam pilihan raya dalam satu kerusi (dengan UMNO dan Pas serta parti lain dalam PN),” katanya.

Abu Bakar juga sependapat dengan Marzuki yang menafikan ‘persengketaan’ antara pengerusi dan presiden parti itu telah mewujudkan dua kumpulan dalam Bersatu dan yakin parti akan terus ke hadapan sekiranya dipimpin oleh Dr Mahathir.

“Bersatu tidak ada dua puak dan saya yakin kalau Bersatu dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad akan terus ke hadapan menjadi parti yang hebat,” katanya yang enggan memberi komen ketika diajukan mengenai pandangannya terhadap pemimpin lain.

Beliau turut menegaskan bahawa ahli parti terutamanya di peringkat akar umbi mahukan penyatuan namun mereka tidak mengetahui perkara sebenar yang berlaku. Parti itu sebenarnya mula bergolak apabila Bersatu mahu bergabung dengan UMNO.

“Semua ahli di peringkat bawah yang tidak tahu... (mereka) hendakkan penyatuan tetapi mereka tidak mengetahui apa perkembangan sebenar, apa yang berlaku.

“Dalam mesyuarat 23hb (tiga bulan lalu) Tun Dr Mahathir Mohamad merayu sebanyak tiga kali hingga sebak janganlah keluar dari Pakatan Harapan.

“Tun ada prinsip. Beliau tidak boleh bersama UMNO. Mereka mahu keluar dari Pakatan Harapan untuk bersama UMNO dan Pas dan (parti lain dalam PN). Tidak boleh. Bagi saya ini satu kerja yang tidak profesional,” katanya lagi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!