X

Kindly register in order to view this article
!

AMK Pulau Pinang bidas Dr Afif

Fahmi Zainol
A
A

BUKIT MERTAJAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang memberi peringatan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin agar tidak memanipulasi kenyataan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang untuk meraih simpati dan mengelirukan orang ramai.

Ketuanya, Fahmi Zainol berkata, Dr Afif sengaja mahu memburukkan Majlis Pimpinan PH Pulau Pinang dengan mendakwa penyingkirannya sebagai ADUN kerajaan negeri sebagai berat sebelah.

Menurutnya, Dr Afif yang dipilih sebagai wakil rakyat atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak sepatutnya menyebelahi atau bekerjasama dengan Perikatan Nasional kerana tindakannya itu bukan sahaja tidak demokratik malah mengkhianati amanat parti.

"Sudah tentu beliau tahu yang kemenangannya sebelum ini dengan majoriti pengundi yang membuat pilihan atas dasar parti bukan individu.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Dr Afif anggap tindakan terhadapnya berat sebelah

"Kawasan Seberang Jaya juga di bawah Parlimen Permatang Pauh yang merupakan kubu kuat PKR bermula daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri. Beliau perlu sedar kalau bukan kerana PKR, beliau bukan sesiapa hari ini," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Fahmi turut menempelak kenyataan Dr Afif yang seolah-olah tidak tahu sebab beliau dikenakan tindakan gantung keahlian dalam PKR dan disingkirkan sebagai ahli kerajaan PH seperti yang diumumkan Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow semalam.

Beliau berkata, sekiranya betul beliau istiqamah dalam berkhidmat, Dr Afif sepatutnya bersama-sama menjunjung perjuangan PKR sebagai institusi kepartian yang beliau sertai walaupun terpaksa berdepan keadaan sukar.

"Namun beliau lebih suka untuk berada dalam kluster kayangan yang merosakkan parti dan membelakangkan dasar kerajaan negeri.

"Berhenti dengan sandiwara politik murahan atau rakyat akan menghukum kamu tidak lama lagi," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!