X

Kindly register in order to view this article
!

Dr Afif anggap tindakan terhadapnya berat sebelah

Dr Afif
A
A

BUKIT MERTAJAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin menyifatkan tindakan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang yang menyingkirkannya ke blok pembangkang sebagai berat sebelah.

Bekas Exco Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, tindakan itu dibuat tanpa sebarang alasan kukuh dan bertentangan dengan semangat prinsip demokrasi berparlimen.

Menurutnya, pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow semalam juga menafikan hak rakyat di Seberang Jaya yang telah mengundinya pada pilihan raya umum lalu.

"Saya tetap istiqamah untuk meneruskan tugas sebagai wakil rakyat dan menjalankan amanah kepada rakyat di Seberang Jaya dan Pulau Pinang," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Afif yang kini status keahliannya digantung dalam PKR berkata, penyingkirannya daripada kerajaan PH Pulau Pinang tidak melunturkan semangat sebagai ADUN pembangkang dan berusaha untuk menggembeleng sokongan rakyat di negeri ini.

Semalam dalam sidang akhbar yang diadakan di Wisma DAP, Kon Yeow berkata, Majlis Pimpinan PH yang bermesyuarat kelmarin bersetuju melucutkan kelayakan Dr Afif sebagai ahli kerajaan PH dan segala hak sebagai ADUN kerajaan negeri dibatalkan serta merta.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Dua ADUN Bersatu perlu kosongkan kerusi

Katanya, kelayakan sebagai ADUN kerajaan negeri digantung sehingga keputusan muktamad mengenai statusnya keahliannya dibuat oleh pimpinan PKR.

Selain Dr Afif, tindakan sama turut dikenakan terhadap ADUN Bertam Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifli Md Lazim selepas mereka menarik semula sokongan mereka terhadap kerajaan PH dan menyokong kepimpinan Perikatan Nasional (PN).

[ARTIKEL BERKAITAN] - Afif mengaku terima tekanan, desakan lepas jawatan

Kon Yeow berkata, disebabkan tiga ADUN terbabit bukan lagi ahli kerajaan PH, kerajaan negeri telah melantik tiga ADUN angkat bagi menyelaras program dan urusan kerajaan di ketiga-tiga kawasan berkenaan dan semua peruntukan juga akan disalurkan kepada mereka.

Tambahnya, Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dilantik menjadi ADUN angkat kawasan Teluk Bahang; Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (Bertam) dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar (Seberang Jaya).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus