Lembaga Disiplin Bersatu terima banyak aduan libat Tun M

Hamzah menunjukkan buku perlambangaan parti Bersatu selepas mengadakan sidang media yang diadakan di Menara Yayasan Selangor. - Foto:ROSLI TALIB
Hamzah menunjukkan buku perlambangaan parti Bersatu selepas mengadakan sidang media yang diadakan di Menara Yayasan Selangor. - Foto:ROSLI TALIB
A
A
A

PETALING JAYA - Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menerima banyak aduan membabitkan bekas Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, oleh demikian pemberhentian keahlian Dr Mahathir telah melalui Lembaga Disiplin.

"Antara aduan yang diterima adalah pada 4 Mei lalu di mana Dr Mahathir membuat kenyataan bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.

"Pada 18 Mei lalu beliau bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) menyatakan mahu menjatuhkan Muhyiddin. Ini aduan yang kita terima dan serahkan kepada Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Bersatu di sini hari ini.

Oleh demikian beliau menegaskan, pemberhentian keahlian Dr Mahathir tidak melalui Lembaga Disiplin parti adalah tidak benar.

"Mereka bukan lagi ahli Bersatu menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu," katanya.

Ditanya mengenai tindakan terhadap mereka yang menyokong Dr Mahathir, Hamzah berkata, apa yang penting ketika ini ialah usaha mengukuhkan parti.

"Untuk itu kita perlu bersatu dan memastikan semua mematuhi Perlembagaan parti. Jika Perlembagaan menegah kita melakukan perkara bertentangan dan kita tidak boleh mengikutinya, keluarlah daripada parti.

Artikel Berkaitan:

"Kita bersama atas tujuan membela nasib agama bangsa dan negara seperti dalam Perlembagaan Bersatu," katanya.