Enam pengedar dadah diberkas

Pelbagai jenis dadah yang dirampas.
Pelbagai jenis dadah yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Enam individu disyaki pengedar dadah diberkas dalam serbuan berasingan di dua kondominium di sini Selasa dan Rabu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya menahan seorang wanita berusia 54 tahun di lobi sebuah kondominium Pudu Ulu pada jam 8 malam, Selasa lalu.

“Hasil pemeriksaan kita merampas dadah jenis methamphetamine anggaran berat 103.5 gram.

"Hasil soal siasat, kita menahan seorang lelaki dan dua wanita berusia dalam lingkungan 28 hingga 35 tahun dalam serbuan di sebuah unit kondominium sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya merampas dadah jenis syabu seberat 502 gram, ketamin seberat 300 gram dan 670 biji pil ektasi.

“Kita turut menyita wang tunai sebanyak RM3,000. Hasil pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan mempunyai tiga rekod lampau berhubung kes dadah.

“Kita percaya kumpulan ini aktif sejak dua bulan lalu. Kesemua mereka direman empat hari bermula kelmarin sehingga esok,” katanya.

Dalam kes berasingan, Mazlan berkata, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menahan seorang lelaki dan seorang wanita dalam serbuan pada jam 12.40 tengah malam di sebuah kondominium di Taman Tenaga di sini Rabu lalu.

Artikel Berkaitan:

“Kedua-dua individu yang ditahan itu berusia 38 dan 45 tahun. Kita merampas dadah ketamin seberat 2.910 kilogram (kg), serbuk MDMA seberat 6.31kg dan 400 biji pil ektasi," katanya.

Mazlan berkata, pihaknya turut menyita wang tunai sebanyak RM20,240 dan dua kenderaan jenis Nissan X-Trail.

"Hasil semakan mendapati lelaki berkenaan mempunyai enam rekod lampau berhubung kes dadah, ujian saringan awal urin ke atas kedua-dua suspek itu positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Menurutnya, suspek bergiat aktif mengedar dadah jenis methamphetamine, pil ectasy, pil erimin 5 dan ketamin di sekitar Lembah Klang.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas RM 935,150. Suspek direman dua hari bermula semalam hingga hari ini bagi membantu siasatan.

"Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,” katanya.