Balu bekas jurukamera TV3 terima faedah Perkeso

Salijan Saigon (kanan) menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat kepada Anisah Ahmad iaitu balu bekas jurukamera TV3 Mohd Rodzee Hamzah di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras hari ini. - Foto Bernama
Salijan Saigon (kanan) menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat kepada Anisah Ahmad iaitu balu bekas jurukamera TV3 Mohd Rodzee Hamzah di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR- Beban balu bekas jurukamera TV3, Mohd Rodzee Hamzah yang meninggal dunia Isnin lepas akibat serangan jantung diringankan menerusi bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Anisah Ahmad, 43, menerima faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 dan faedah pencen penakat yang disampaikan oleh Pengarah Perkeso Kuala Lumpur Salijan Saigon di kediamannya di Bandar Tun Hussein Onn, di sini, hari ini.

Salijan berkata, pihaknya menerusi Skuad Perkeso Prihatin telah menyemak maklumat caruman Mohd Rodzee dan mendapati Allahyarham layak menerima faedah daripada pertubuhan iaitu faedah pengurusan jenazah dan pencen penakat.

"Bayaran (pencen penakat) akan diterima oleh balu Allahyarham sehingga akhir hayat dan semua bayaran akan dikreditkan ke dalam akaun," katanya kepada Bernama.

Pencen penakat adalah satu faedah dalam Skim Keilatan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 yang dibayar kepada orang tanggungan yang layak apabila Orang Berinsurans Perkeso meninggal dunia akibat sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.

Sementara itu, Anisah bersyukur dan berterima kasih di atas tindakan Perkeso yang menghubunginya bagi tujuan penyerahan faedah berkenaan.

"Saya rakam ucapan terima kasih kepada Perkeso kerana dalam masa beberapa hari sahaja bantuan telah diberikan. Bantuan ini secara tidak langsung mengurangkan beban kami sekeluarga," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Mohd Rodzee, 48, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di kediamannya di Bandar Tun Hussein Onn di sini, kira-kira 8.30 malam pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham meninggalkan tiga anak iaitu Damia Saffiyah, 14, Ariff Rayyan 10, dan Darwisy Razayn yang berusia setahun sembilan bulan.- Bernama