Kes pecah rumah: Geng Tailong etnik Rohingya diberkas

No Image Caption
A
A
A

KULAI - Tiga etnik Rohingya termasuk seorang wanita yang terlibat dalam kegiatan pecah rumah di sekitar daerah ini sejak dua bulan lepas, berjaya diberkas dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, suspek yang terdiri daripada dua lelaki berusia 30 tahun dan wanita berumur 27 tahun itu dan dikenali sebagai ‘Geng Tailong’ itu, ditahan di beberapa lokasi berasingan di sekitar Kulai dan Johor Bahru dari jam 8.15 malam sehingga 2 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota.

Dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas pelbagai jenis telefon bimbit, barang kemas, komputer riba, jam tangan, beg termasuk sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi serta sebuah motosikal Yamaha dengan anggaran nilai keseluruhan RM100,000.

Menurut Beng Yeow, hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek terlibat dalam 15 kes pecah rumah di sekitar kawasan Bandar Putra, di sini.

“Modus operandi mereka adalah dengan membawa kenderaan dan berhenti di rumah mangsa, panjat tembok dan umpil pintu serta menyasarkan ketika tuan rumah tiada.

Suspek juga kemungkinan adalah saki baki geng yang telah ditahan bagi kes sama pada April lepas. Malah mereka juga dipercayai telah lama menetap di negeri ini kerana fasih berbahasa Melayu,” katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun menjelaskan pihaknya masih memburu tiga lagi lelaki etnik Rohingya yang masih bebas.

“Kesemua suspek masih bebas ini adalah rakan sejenayah dan dikenali sebagai Rahman, Hassan dan Baya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek yang ditahan itu kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.-Bernama