Profesionalisme unggul frontliners Covid-19

Petugas barisan hadapan yang terus gigih dan berdisiplin bagi memastikan pandemik Covid-19 terus terkawal dalam kalangan komuniti.
Petugas barisan hadapan yang terus gigih dan berdisiplin bagi memastikan pandemik Covid-19 terus terkawal dalam kalangan komuniti.
A
A
A

Usaha mengawal pandemik koronavirus (Covid-19) yang sedang melanda dunia tidak akan berhasil tanpa kegigihan, semangat kental dan daya juang pasukan petugas barisan hadapan (frontliners).

Barisan itu terdiri dalam kalangan petugas kesihatan dan perubatan, agensi penguatkuasaan dan ketenteraan serta pihak yang terlibat memberikan perkhidmatan asas dan kritikal kepada komuniti.

Dalam kalangan tenaga barisan hadapan itu, petugas kesihatan dan perubatan merupakan benteng terakhir (last defence) yang perlu memastikan Covid-19 tidak tersebar dan menular kepada kelompok lain.

Selepas mengendalikan kawalan wabak Covid-19 yang sudah masuk bulan yang ketiga, melangkaui bulan Ramadan dan kini sudah memasuki bulan Syawal pula, barisan hadapan kita dibimbangi sudah berada di fasa burnout, keletihan dan kurang motivasi.

Bagi petugas perubatan di beberapa hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara, mereka terpaksa berhadapan secara langsung dengan kelompok pesakit positif Covid-19 yang dikenalpasti dan mempunyai gejala serius untuk dirawat saban hari.

Sementara petugas di pusat-pusat kesihatan pula bertanggungjawab menyaring ribuan individu yang berisiko mendapat jangkitan.

Sekali pun bimbang dan risau dengan keselamatan serta kesejahteraan diri sendiri termasuk ahli keluarga terdekat, petugas perubatan dan kesihatan terus memberikan khidmat bakti dengan cemerlang.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu, pasukan petugas kesihatan membuat penegasan bahawa mereka sanggup bertugas seperti biasa (stay at work) untuk mengendalikan kes positif Covid-19 ang memerlukan jaga rawatan.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, mereka merayu orang awam mengambil serius tanggungjawab mereka untuk berada di dalam rumah masing-masing bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Sekali pun kini terdapat sedikit kelonggaran mengadakan aktiviti ekonomi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bahaya penularan Covid-19 masih belum selesai.

Terbukti, tahap profesionalisme unggul menjadi tunjang kekuatan yang mendorong petugas barisan hadapan terus gigih berdisiplin dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab berat berhadapan dengan pandemik itu. Tidak dapat dinafikan, petugas mengutamakan prinsip etika perubatan semasa menjalankan tugas masing-masing.

Dalam etika perubatan, terdapat empat prinsip yang menjadi asas dan landasan amalan yang terpuji. Prinsip-prinsip inilah yang menjadi dorongan dalaman barisan hadapan perubatan dan kesihatan yang meniupkan semangat dan daya juang.

Prinsip

Prinsip pertama etika perubatan menyentuh perihal tuntutan supaya pengamal perubatan sentiasa memberi manfaat kepada pesakit, keluarga dan masyarakat. Adakalanya dalam kewajipan merawat pesakit, pengamal perubatan terpaksa mengorbankan tenaga, keselesaan dan masa yang banyak, mendahulukan keutamaan pesakit melebihi dirinya sendiri.

Dalam menjalankan tugasan mengawal pandemik Covid-19 ini, para petugas kesihatan dan perubatan menzahirkan prinsip pertama etika perubatan ini dengan cemerlang dan jayanya.

Prinsip kedua memberikan penekanan lanjut kepada keperluan pengamal perubatan memastikan setiap keputusan dan intervensi rawatan yang dirancang dan dibuat mestilah tidak mendatangkan kemudaratan kepada pesakit, ahli keluarga dan rakan setugas yang lain.

Untuk menjayakan prinsip ini, pengamal perubatan mestilah mampu bersifat empati dan sentiasa berhati-hati untuk tidak menyebabkan kesakitan, kecederaan dan kesulitan yang lebih berat kepda pesakit yang dirawat.

Dalam konteks berhadapan dengan Covid-19, petugas perubatan dan kesihatan berusaha gigih mengawal dan mengurangkan kadar tularan penyakit ini bagi mengurangkan impak yang lebih parah.

Sementara prinsip ketiga dalam etika perubatan menjurus kepada prinsip autonomi pesakit yang mesti dihormati dan dibela oleh pengamal perubatan.

Prinsip ketiga ini meletakkan hak asasi manusia sebagai asas utama yang menjadi sandaran dalam memberikan perkhidmatan perubatan.

Terdapat tiga kategori autonomi dalam prinsip etika perubatan. Pertama, pesakit dewasa mempunyai autoriti membuat keputusan dalam aspek pengurusan data dan maklumat berkenaan dirinya.Kerahsiaan terhadap butiran dan maklumat pesakit adalah tonggak utama profesion perubatan.

Kedua, autonomi fizikal yang merangkumi hak pesakit sama ada mahu membenarkan pengamal perubatan menyentuh, memegang dan memeriksa tubuh fizikalnya.

Ketiga, autoriti yang berkaitan dengan keputusan yang hendak diambil berkaitan penyakit dan rawatan.

Prinsip ini menggariskan perlunya mendapatkan keizinan daripada pesakit sendiri atau ahli keluarga terdekat sebelum sebarang prosedur dan intervensi dijalankan. Semasa usaha kawalan Covid-19, kerahsiaan pesakit yang dijangkiti dan keluarga mereka telah diuruskan dengan sebaiknya.

Prinsip keempat etika perubatan menjurus kepada perlunya wujud keadilan, keseimbangan dan kesaksamaan, kejujuran dan integriti dalam menjalankan amanah yang dipikulkan kepada pengamal perubatan.

Keadilan dalam pengamalan perubatan menekankan tiga aspek; Aspek pertama adalah keadilan dalam memberikan rawatan tanpa diskriminasi, memilih warna kulit dan keturunan semasa memberikan khidmat kepada pesakit. Aspek kedua, keadilan dalam pengagihan sumber dan kewangan berkaitan kesihatan kepada masyarakat.

Sementara aspek ketiga; menentukan segala yang dipraktikkan tidak melanggar ketetapan undang-undang tempatan.

Dalam usaha menangani pandemik Covid-19 setakat ini, petugas perubatan dan kesihatan perlu mematuhi undang-undang yang ada. Mereka juga mempunyai sepenuh hak yang dijamin oleh undang-undang negara untuk dilindungi dari dijangkiti Covid-19.

Keempat prinsip yang digariskan dalam etika perubatan ini menjadi piawai yang mesti difahami, dihayati dan dipraktikkan oleh semua pengamal perubatan.

Bencana Covid-19 menjadi satu cabaran global yang perlu diatasi bersama. Semoga kegigihan petugas perubatan dan kesihatan barisan hadapan menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan profesional membawa kejayaan mengatasi Covid-19.

* Profesor Datuk Dr Harlina Halizah Siraj ialah Pengarah Pusat Citra Universiti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)