Pemimpin Bersatu yang dipecat dakwa Muhyiddin kini jadi diktator

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Lima pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat hari ini melabelkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai diktator kerana berpolitik ketika pandemik Covid-19 dan kegawatan ekonomi.

Menerusi satu kenyataan bersama yang dikeluarkan mereka tidak bersetuju dengan pemecatan tersebut kerana telah menafikan hak untuk membela diri.

Berikut ialah kenyataan penuh mengenai perkara tersebut.

Melalui surat bertarikh 28.05.2020, telah dinyatakan bahawa kami berlima telah kononnya melanggar peruntukan 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.

Dakwaan yang terkandung di dalam surat berkenaan bahawa tindakan kami berlima mengambil kedudukan di Parlimen pada 18 Mei 2020 sebagai wakil rakyat yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional dan menyebabkan kami melanggar perlembagaan parti Bersatu.

Peruntukkan 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu menyatakan:

(i) 10.2.2 Mengisytiharkan keluar daripada parti.

(ii) 10.2.3 Menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Dilihat pada takrifan di atas, amat dangkal dan tidak munasabah untuk kami dikatakan telah keluar parti sedangkan kami hanya melaksanakan apa yang dibenarkan oleh undang-undang dan hak kami di bawah Perlembagaan Persekutuan selaku Ahli Parlimen yang sah.

Kami langsung tidak bersetuju bahawa keahlian kami terhenti secara serta-merta apatah lagi ia bertentangan dengan undang-undang serta menafikan hak kami untuk membela diri dan memberi penjelasan, yakni hak yang dijamin di bawah prinsip kedaulatan undang- undang.

Yang jelas, pejabat Presiden bermain politik semasa isu Covid-19 dan kegawatan ekonomi yang kini melanda negara. Ini juga menampakkan sikap diktator Presiden.

Kami juga menyatakan di sini bahawa tindakan sebelah pihak (unilateral) oleh Presiden Bersatu kini dalam memecat kami tanpa sebab adalah kerana kegusaran beliau dalam menghadapi pemilihan parti serta posisi beliau yang tidak selamat selaku Perdana Menteri yang paling tidak stabil dalam sejarah pentadbiran negara kita.

Surat yang diutus kepada kami juga pada zahirnya menampakkan kecelaruan urusetia parti BERSATU kini.

Ia ditandatangani oleh individu yang tidak diberikuasa di bawah perlembagaan parti dan tidak langsung menampakkan Bersatu ditadbir secara profesional. Tindakan seorang Setiausaha Kerja yang mengutus surat sebegini kepada yang diantaranya ialah pengasas parti Bersatu sendiri adalah sangat menjelikkan serta biadab.

Pihak kami tidak menerima pemecatan salah ini yang jelas bertentangan dengan undang-undang dan merizabkan hak untuk mengambil tindakan undang-undang yang berkaitan bukan sahaja untuk diri kami tetapi untuk memastikan kemaslahatan ahli-ahli akar umbi Bersatu.

Kami akan memastikan Bersatu kembali ke landasan betul dan tidak lagi dijadikan wahana pacuan sesetengah pihak yang hanya tamakkan kuasa dan kedudukan.

Pada Ahli-Ahli Parlimen Bersatu yang lain, kami menyeru dan memanggil anda, lihat apa yang kini berlaku pada parti kita sendiri, hilang kuasa di negeri-negeri dan menjadi bahan mainan parti yang dulu kita tentang bersama.

Bertarikh: 28.05.2020

#Kekal Berprinsip #Selamatkan Bersatu

Tun Dr. Mahathir Mohamad

Ahli Parlimen Langkawi

Pengerusi BERSATU

Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir

Ahli Parlimen Jerlun

Timbalan Presiden BERSATU

Syed Saddiq Syed Rahman

Ahli Parlimen Muar

Ketua ARMADA BERSATU

Dr. Maszlee Malik

Ahli Parlimen Simpang Renggam

Ahli Majlis Tertinggi BERSATU

Datuk WiraAmiruddin Hamzah

Ahli Parlimen Kubang Pasu