Raya gaya baharu

No Image Caption
A
A
A

“Rindu anak ibu yang berada di perantauan.” Sebaris ayat itu mampu membuatkan siapa sahaja yang tidak dapat pulang ke kampung halaman pada tahun ini mengalirkan air mata dek kerana penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Ibu bapa terpaksa menanggung perasaan rindu terhadap anak-anak yang berada jauh di perantauan dan mereka yang bujang terpaksa menyambut Aidilfitri tanpa keluarga di sisi.

Siapa yang tidak sebak apabila terpaksa berjauhan daripada keluarga lebih-lebih lagi apabila tiba musim perayaan.

Memang terasa agak janggal beraya tanpa keluarga di sisi. Apatah lagi dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Semuanya perlu ikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Antaranya mengehadkan aktiviti ziarah-menziarahi dengan terhad kepada 20 orang ahli keluarga terdekat sahaja.

Bagaimana kita hendak merayakan Syawal pada tahun ini sebenarnya terpulang kepada diri kita kerana bersedih pun tidak dapat membawa kita pulang ke kampung halaman.

Ketika inilah kita mempraktikkan raya gaya baharu. Tiada alasan untuk bermuram di pagi raya hanya semata-mata rindukan kampung halaman. Kita boleh manfaatkan penggunaan aplikasi seperti Zoom, WhatsApp, video call dan juga FaceTime untuk mengubati rasa rindu dan sedih di pagi Syawal.

Kita beruntung kerana hidup dalam zaman dengan teknologi canggih yang memudahkan kita berhubung dengan orang tersayang.

Artikel Berkaitan:

Meskipun tidak dapat bersua muka, ambil peluang pagi raya untuk membuat panggilan video kepada ibu bapa serta keluarga untuk bermaaf-maafan dan bertanya khabar.Kemajuan teknologi boleh membuatkan mereka yang jauh di mata terasa dekat di hati walaupun tidak bersua muka.

Hikmahnya, beraya pada musim PKPB ini ialah ketua keluarga mula memainkan peranan dengan menjadi imam solat sunat Aidilfitri serta menyampaikan khutbah kepada ahli keluarga di kediaman masing-masing.

Ada pula segelintir individu yang menggunakan pelbagai barang termasuk kayu golf, tukul ‘Thor’ watak dalam sebuah filem antarabangsa, kayu mop serta pedang ‘gergasi’ mainan ketika membaca khutbah di kediaman masing-masing.

Sekiranya PKPB masih dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha nanti, carilah tongkat yang elok supaya tidak dianggap mempermain-mainkan agama seperti mana teguran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Lebih ketara tiada kesesakan luar biasa lalu lintas seperti mana berlaku pada tahun-tahun sebelum ini kerana kerajaan melarang pergerakan merentas negeri.

Walaupun aktiviti ziarah dihadkan kepada 20 orang sahaja, namun masih ramai yang tidak mengendahkan larangan tersebut. Tak pasal-pasal ada yang beraya dengan anggota polis dan menjadikan hari raya tahun ini lebih mahal apabila dikenakan kompaun RM1,000 akibat berkumpul lebih daripada jumlah yang dibenarkan.

PerubahanLarangan itu bukan dibuat suka-suka. Ia bertujuan untuk mengelakkan pergerakan orang ramai ketika musim perayaan bagi mengekang penularan Covid-19 daripada terus menular dalam kalangan masyarakat dan seterusnya mencetuskan kluster baharu di negara ini.

Ada sebab mengapa kerajaan mengeluarkan arahan larangan ziarah-menziarahi di musim perayaan ini dan sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya patuh arahan tersebut.

Meskipun ada segelintir yang ingkar arahan daripada kerajaan dengan membuat cubaan merentas negeri melalui lorong tikus namun sebahagian besar masyarakat di negara ini dilihat sudah dapat menyesuaikan diri dengan normal baharu.

Covid-19 telah menjejaskan rutin harian semua pihak tidak kira di Malaysia mahupun di seluruh dunia. Wabak itu juga telah mewujudkan kebiasaan baharu dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Oleh sebab itu, kita terpaksa mengubah cara berfikir untuk seiring dengan kebiasaan baharu ini dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri serta orang sekeliling.

Setiap lapisan masyarakat memainkan peranan yang penting dalam memerangi wabak Covid-19 ini.

Oleh itu, semua rakyat Malaysia dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan penjarakkan sosial serta memakai penutup muka dan pembasmi kuman tidak kira di mana jua anda berada.

* Nazihah Khan ialah Wartawan Sinar Harian Video