United kena buru penyerang berkualiti

Solskjaer (kiri) perlu memburu penyerang berkualiti dalam memberi cabaran kepada Liverpool dan Manchester City.
Solskjaer (kiri) perlu memburu penyerang berkualiti dalam memberi cabaran kepada Liverpool dan Manchester City.
A
A
A

GERGASI Eropah, Manchester United perlu melakukan pembelian pemain khasnya penyerang yang tepat sekiranya berhasrat kembali menyaingi Liverpool dan Manchester City yang mendominasi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Menurut bekas penyerang The Red Devils, Teddy Sheringham, pengurusan tertinggi kelab itu tidak hanya perlu mencari peledak yang tepat tetapi juga sesuai dengan falsafah kelab itu.

“Liverpool dan Manchester City semakin ke depan beberapa tahun kebelakangan ini kerana masing-masing mempunyai jentera penyudah berkesan.

“Sekarang ini saya menyukai pendekatan diambil oleh Ole Gunnar Solskjaer dalam dua musim ini iaitu membentuk semula pemain khasnya dalam kalangan produk akademi kelab sesuatu yang positif.

“Cumanya kini pengurusan tertinggi perlu lebih bijak mencari penyerang yang tepat selepas Solskjaer mengharungi musim mencabar dalam usaha menstabilkan semula saingan The Red Devils,” katanya.

Pada ketika ini Manchester United berada pada kedudukan kelima liga dengan 45 mata selepas mengharungi 29 perlawanan.

Situasi itu menyaksikan kelab itu ketinggalan 37 mata di belakang Liverpool yang memimpin liga dan 12 mata di belakang jiran tetangga Manchester City pada kedudukan kedua.

Jelas Sheringham, strategi jangka panjang Solskjaer membangunkan semula produk jangka panjang kelab sesuatu yang positif.

Artikel Berkaitan:

Namun tegasnya, usaha positif itu masih jauh untuk kembali menyaingi dua lawan mereka yang begitu konsisten dalam beberapa musim ini.

“United selain perlu merekrut pemain baharu yang tepat. Pada masa sama juga mengeluarkan pemain yang tidak lagi berjiwa Manchester United biarpun tugas ini sukar.

“Kelab juga harus berani melepaskan pemain Manchester United yang jadi halangan kepada usaha mengembalikan daya saing walaupun memiliki nama besar,” katanya.

The Red Devils sebelum ini merekrut berapa pemain berstatus bintang seperti Angel Di Maria, Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez yang kemudiannya disifatkan gagal menjelmakan karakter sebenar kelab itu.