Lelaki terapung di Sungai Muda
SUNGAI PETANI - Mayat seorang lelaki ditemui terapung dekat perairan Sungai Muda, Kampung Jawa, Kota Kuala Muda kira-kira jam 6 petang semalam.
Ketua Polis Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa yang hanya berseluar jeans dipercayai meninggal dunia lebih daripada 72 jam berdasarkan keadaan perut yang membuncit.
Menurutnya, badan mangsa dinyahkuman pasukan perubatan untuk mengelak jangkitan berdasarkan standard operasi prosedur berkaitan koronavirus (Covid-19).
"Tiada butiran pengenalan diri ditemui dan pemeriksaan fizikal mendapati terdapat kecederaan bawah ketiak kanan dan tapak tangan kanan dipercayai dimakan binatang, namun tiada unsur jenayah," katanya.
Mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.25 petang.
"Mayat berjaya dinaikkan pada jam 7.37 malam oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu di tempat kejadian. Kita mendapatkan bantuan nelayan bagi menggunakan bot untuk menaikkan mayat," katanya.