Covid-19: Yadim Kelantan bantu kumpulan terkesan PKP

Salah seorang penerima (kiri) bersyukur dengan sumbangan yang disampaikan oleh Yadim.
Salah seorang penerima (kiri) bersyukur dengan sumbangan yang disampaikan oleh Yadim.
A
A
A

KOTA BHARU - Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) Kelantan mengagihkan sumbangan bernilai RM21,500 melibatkan 430 penerima yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Yadim Kelantan, Mejar Zaidi Abd Halim, sumbangan untuk bulan April dan Mei tersebut diberikan kepada golongan sasar termasuk veteran angkatan tentera kategori B40, balu dan ibu tunggal.

Menurutnya, pihaknya sedar dengan keadaan semasa yang dihadapi kumpulan sasaran tersebut dan atas dasar rasa tanggungjawab itulah Yadim turun padang memberikan sumbangan.

“Wabak koronavirus (Covid-19) ini, memberi kesan kepada cara hidup dan urusan harian masyarakat terutama di sudut ekonomi keluarga. Kita juga tidak tahu bila ia akan berakhir.

“Jadi sama-samalah kita cakna kepada golongan memerlukan di samping berusaha serta mengikuti arahan kerajaan untuk putuskan rantaian penularan Covid-19,” katanya sempena Penyampaian Sumbangan Dari Yadim Kelantan Veteran, Balu dan Ibu Tunggal di sini melibatkan 35 penerima.

Sementara itu, seorang penerima, Rusnani Ideris berterima kasih atas sumbangan yang diberikan kerana baginya kadang-kadang dia sendiri tidak tahu cara untuk mendapatkan sumbangan jika tiada pihak tampil membantu dengan kaedah sebegini.

“Dalam keadaan begini, kami sangat bersyukur ada yang hulurkan bantuan kerana kita tidak tahu sampai bila wabak ini akan berakhir,” katanya.

Seorang lagi penerima, Ab Hamid Hashim berkata, sumbangan yang diterimanya itu dianggap satu pemberian cukup besar untuk dirinya.

Artikel Berkaitan:

“Bukan tidak ada pihak yang menghulurkan bantuan tetapi tempoh PKP berlangsung udah lebih dua bulan, jadi sedikit sebanyak sumbangan yang diberikan mampu membantu meringankan beban.

“Terima kasih kepada pihak Yadim kerana sudi menghulurkan bantuan dan saya berharap wabak Covid-19 yang melanda negara dan dunia ini berakhir dengan cepat,” katanya.