Jakoa nafi orang asli tak dapat bantuan makanan

 Juli Edo
Juli Edo
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) hari ini menafikan mesej yang tular di Aplikasi WhatsApp mengenai masyarakat Orang Asli Bukit Lagong, Selangor didakwa tidak mendapat bantuan makanan.

Ketua Pengarah Jakoa, Prof Dr Juli Edo berkata, mesej tular berkenaan adalah tidak benar sama sekali.

"Terdapat individu yang membuat kutipan dana untuk menyalurkan bantuan kepada masyarakat Orang Asli Bukit Lagong, kutipan tersebut dibuat menerusi akaun CIMB Bank Berhad atas nama Noor Aziah Mat dan kutipan yang dibuat juga tidak mendapat kelulusan pihak Jakoa.

"Mesej tular berkenaan juga menyatakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu, penduduk Kampung Orang Asli Bukit Lagong tidak menerima sebarang bantuan makanan," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh PKP, Kampung Orang Asli Bukit Lagong telah menerima Bantuan Bakul Makanan Jakoa sebanyak tiga kali iaitu pada 7 April, 16 April dan 8 Mei yang meliputi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung gandum, garam, gula, serbuk teh, susu pekat manis, sardin dan kicap.

Dalam masa sama, beliau berkata, Jakoa menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati dalam menerima kenyataan sebegini lebih-lebih lagi melibatkan kutipan dana.

"Orang ramai hendaklah sentiasa mendapatkan penjelasan daripada pihak Jakoa jika menerima sebarang kenyataan berkenaan masyarakat Orang Asli," katanya.

Sebarang pertanyaan berkenaan masyarakat Orang Asli boleh dibuat melalui Bilik Gerakan Jakoa di talian 03-21610577 atau melalui email pro@jakoa.gov.my.

Artikel Berkaitan: