Cari jalan UMNO-Bersatu bertaut semula

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO tidak pernah menutup ruang untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertaut semula dan menjernihkan kekeruhan demi kesatuan Melayu serta kepentingan Islam.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, segala perbezaan serta permusuhan sebelum ini harus diketepikan dan kini adalah masa terbaik untuk membaiki hubungan sempena Syawal yang penuh kemaafan.

Justeru kata Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu, segala perseteruan antara dua parti Melayu itu selama ini tidak menguntungkan sesiapa pun melainkan pihak lawan masing-masing.

"Marilah kita mencari jalan untuk bertaut semula seperti sebelumnya. Semasa kita semua diikat oleh satu tekad dan kepercayaan untuk berjuang dan menyumbang kepada bangsa teras dan mentadbir tanah air ini sebagai rumah terbaik untuk semua.

"Apatah lagi bila kedua-dua pemimpin utama Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah antara putera terbaik yang pernah UMNO lahirkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, jika UMNO dan Pas yang saling berseteru puluhan tahun boleh mengetepikan ego masing-masing lalu kembali bertaut menjadi saudara, masakan UMNO dan Bersatu tidak boleh mengambil langkah yang sama.

Menurutnya, apabila UMNO dan Pas membentuk Muafakat Nasional langkah itu laksana sirih pulang ke gagang dan seakan membenarkan pepatah betapa air walau dicincang tidak akan putus.

Walaupun rupa bentuk kepartian tersendiri katanya, DNA perjuangan UMNO dalam Pas itu wujud dan kerana itu UMNO merangkul Pas dengan erat kerana setelah terpisah sekian lama akhirnya kedua-dua parti terbesar orang Melayu ini berdamai serta bertaut semula demi Islam, Melayu dan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, UMNO diibaratkan sebagai 'ayah' yang banyak berjasa, berpengaruh serta besar sumbangannya terhadap orang Melayu dan negara ini selain perlu bertindak seperti 'ayah' dalam politik kepartian di Malaysia.

"Bukan sahaja kerana UMNO itu parti tertua tetapi kerana semua parti Melayu Islam di Malaysia ini mempunyai sangkut paut dan perkaitan dengan UMNO. Biar daripada segi sejarahnya, ideologinya atau pun mana-mana sudut lain. Pas lahir dari pendukung UMNO. Semangat 46 juga begitu.

"Demikian juga PKR. Hatta Bersatu sendiri. Semuanya dibidani oleh mereka yang dahulunya bersama UMNO. Maka wajarlah UMNO bersikap seperti seorang ayah sekalipun pada 'anak' yang telah meninggalkannya atau yang ingkar padanya mahupun anak yang pernah ia halau pergi," katanya.

Bekas Menteri Besar Johor itu berpendapat, bukan mudah untuk mana-mana parti Melayu menggantikan peranan UMNO malah bagi orang Melayu, politik tanpa UMNO sangat dangkal dan janggal.