32 cuba rentas negeri 'sangkut' di Sepang

Wan Kamarul Azran
Wan Kamarul Azran
A
A
A

SEPANG - Seramai 32 individu dikompaun RM1,000 kerana cuba merentas negeri sepanjang tiga hari sambutan hari raya sejak Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kesemua mereka ini bukan sahaja dikompaun malah diarahkan untuk berpatah balik ketika ditahan dalam sekatan jalan raya di sekitar daerah ini.

Menurutnya, mengikut pecahan, enam individu dikompaun pada Ahad, keesokannya pula seorang dan hari berikutnya setakat jam 6 petang pula mencatatkan 25 individu.

"Kita percaya mereka ini datang dari Negeri Sembilan untuk ke Selangor.

"Antara alasan yang diberikan mereka ini adalah mahu beraya, beli barang serta menghantar barang," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, masyarakat diingatkan agar duduk di rumah dan usah keluar sekiranya tiada sebarang urusan penting.

"Pergerakan rentas negeri memerlukan kebenaran dan sekiranya tiada kebenaran, tindakan kompaun akan dikenakan," katanya.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat memaklumkan bahawa pihaknya kini mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengesan mereka yang ingkar PKPB dengan memfokuskan 15 kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Ini termasuk kesalahan merentas negeri, aktiviti berarak meliputi kunjung-mengunjung rumah ke rumah sempena Aidilfitri dan membawa lebih daripada tiga penumpang dalam kenderaan persendirian.

Selain itu, turut dikesan banyak cubaan merentas negeri terutama yang menggunakan lorong tikus.