Sambut Syawal di kampus

Noor Azizi (dua dari kiri) meraikan Hadiana Nanang yang merupakan antara 12 penuntut UMK yang menyambut Syawal di kolej kediaman universiti itu.
Noor Azizi (dua dari kiri) meraikan Hadiana Nanang yang merupakan antara 12 penuntut UMK yang menyambut Syawal di kolej kediaman universiti itu.
A
A
A

BERGENANG air mata kesayuan tatkala terkenangkan ibu bapa yang berada beribu-ribu batu jauhnya di kampung halaman ketika menyambut Syawal.

Keadaan itu dirasai hampir setiap umat Islam di seluruh dunia akibat pergerakan terhad susulan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Turut mengalami situasi sama adalah seramai 12 penuntut antarabangsa dan tempatan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kota Bharu yang meraikan Aidilfitri di kolej kediaman masing-masing.

Penuntut berasal dari Ethiopia iaitu sebuah negara yang terletak di Afrika Timur, Ferid Abdulhafiz, 29, berkata, tahun ini adalah kali keempat dia menyambut Hari Raya Aidilfitri di Malaysia.

Dia yang menyambung pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Bioteknologi Pertanian berkata, dia tinggal di kolej kediaman bersama empat lagi rakan dari negara lain iaitu Bangladesh, Somalia, Nigeria dan India.

“Saya sudah lama tidak berjumpa keluarga.

“Kalau saya dapat balik sekali pun belum tentu boleh terus berjumpa mereka kerana jika tiba di Afrika, saya perlu menjalani kuarantin selama dua minggu berikutan Covid-19 yang melanda dunia sekarang,” katanya ketika ditemui di UMK Kampus Kota di sini semalam.

Katanya yang boleh berbahasa Melayu dialek Kelantan, melihat juadah sambutan hari raya di Malaysia seperti sate dan rendang menyebabkan kerinduannya terhadap kampung halaman semakin membuak-buak.

Artikel Berkaitan:

“Di sana pun ada sate, tetapi kami tidak cucuk dengan lidi sebaliknya hanya digoreng selain lebih banyak makan roti. Rendang pula hampir sama dengan masakan kari ayam Afrika.

Noor Azizi (kanan) sempat beramah mesra dengan penuntut yang tinggal di kolej kediaman dan pada masa sama mengamalkan penjarakkan sosial antara mereka.
Noor Azizi (kanan) sempat beramah mesra dengan penuntut yang tinggal di kolej kediaman dan pada masa sama mengamalkan penjarakkan sosial antara mereka.

“Cuma kami lebih banyak makan daging dan keju. Apa-apa pun tetap bersyukur kerana di Malaysia terlalu banyak makanan yang boleh dinikmati. Saya juga menggemari makanan Kelantan seperti budu dan nasi kerabu,” katanya.

Sementara itu, seorang penuntut dari Bandung, Indonesia, Hadiana Nanang Hidayat, 26, berkata, Covid-19 menyebabkan hasratnya untuk pulang beraya ke negara asal terbantut dan terpaksa terus kekal di kampus bersama rakan sekuliah lain.

“Saya sudah pun membeli tiket penerbangan pulang pada awal April lalu dan sepatutnya bertolak seminggu sebelum Syawal, namun tidak menyangka keadaan wabak di kedua-dua negara menyebabkan sukar untuk pulang ke tanah air sendiri.

“Terlalu sebak kerana perancangan itu terpaksa dibatalkan. Saya juga tidak dapat bersama keluarga angkat di Johor kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan tidak membenarkan rentas negeri.

“Jadi, kedua-dua keluarga sama ada angkat atau kandung, saya tidak dapat jumpa,” katanya sayu. Rindu

Penuntut Ijazah Pengurusan Sumber Asli dari Perak, Mohamad Nur Arifuddin Mad Yusof, 26, berkata, dia tidak pulang ke kampung kerana perlu menjaga haiwan dalam kajiannya.

“Kalau diikutkan pada tahun-tahun lalu, pihak universiti mengupah orang tempatan untuk memberi makan kepada haiwan-haiwan ini namun kerana keadaan sekarang sukar, jadi saya ambil keputusan untuk tidak pulang ke rumah bagi menjaga ternakan ini.

“Saya juga mengambil kesempatan untuk meminta ampun kepada kedua-dua ibu bapa saya kerana tidak dapat balik berhari raya di kampung kali ini. Saya mengharapkan wabak ini cepat berakhir supaya dapat pulang bertemu mereka untuk meleraikan kerinduan,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Noor Azizi Ismail berkata, seramai 50 penuntut kekal di Kelantan iaitu 12 orang berada di kediaman Jeli dan Kota Bharu manakala 38 lagi penuntut kekal di rumah sewa masing-masing.

“Mereka adalah 1,000 penuntut yang terkandas ketika pelaksanaan PKP bermula 18 Mac lalu namun 950 sudah selamat dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing oleh Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini.

“Mereka yang tinggal ini adalah penuntut yang memilih untuk kekal di kolej kediaman atas alasan tertentu.

“Pihak universiti sentiasa memantau keadaan mereka seperti hari ini (semalam) dan turut menjamu mereka dengan juadah hari raya seperti ketupat, lemang dan rendang.

“Diharap dapatlah mengurangkan sedikit kesyahduan mereka menyambut Syawal dalam keadaan jauh daripada keluarga,” katanya kepada Sinar Harian.