Bila nak habis drama politik kita?

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

TINDAKAN dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menarik semula sokongan terhadap pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang bukanlah perkara yang mengejutkan.

Sebelum ini, ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifli Md Lazim tetap menyatakan sokongan terhadap kerajaan negeri walaupun Bersatu mengumumkan keluar daripada PH pada 24 Februari lalu.

Mereka membuat keputusan itu selepas Ketua Menteri, Chow Kon Yeow meminta kedua-dua ADUN berkenaan menyatakan pendirian dalam pentadbiran kerajaan Pulau Pinang susulan keadaan politik negara ketika itu.

Kon Yeow sebelum itu berkata, dua kerusi ADUN Bersatu itu mungkin terbatal secara automatik mengikut Perlembagaan negeri sekiranya mereka mengikut pendirian di peringkat Pusat.

Beliau berkata, mengikut Enakmen Perlembagaan negeri (Pindaan) 2012 bagi menghalang amalan lompat parti dalam kalangan ADUN, mana-mana ahli yang bertanding atas tiket parti tertentu dan keluar parti, kerusi terbabit boleh dianggap kosong dan Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan.

Namun, selepas hampir tiga bulan, Khaliq Mehtab dan Zolkifli menarik semula sokongan terhadap kerajaan negeri sekali gus menjadikan mereka sebagai wakil rakyat pembangkang di Pulau Pinang.

Difahamkan keputusan itu dibuat selepas mereka menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Presiden Bersatu yang juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Lantikan

Artikel Berkaitan:

Malah, keputusan itu juga tidak selari dengan pendirian Bersatu peringkat negeri di bawah pimpinan Datuk Marzuki Yahya yang tetap menyokong kerajaan PH Pulau Pinang.

Bagaimanapun, keputusan Khaliq Mehtab dan Zolkifli itu langsung tidak menjejaskan kuasa pentadbiran PH kerana 35 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dikuasai gabungan DAP, PKR dan Amanah.

Begitupun, adakah dua ADUN Bersatu terbabit perlu mengosongkan kerusi mereka bagi memberi laluan kepada PRK? Perkara tersebut belum dapat dipastikan lagi.

Sehingga hari ini, tiada sebarang ulasan oleh Kon Yeow berhubung isu berkenaan. Malah, Pengerusi DAP Pulau Pinang itu dijangka mengetepikan dahulu perkara itu kerana perlu mengutamakan urusan yang lebih penting.

Sejak negara berdepan penularan Covid-19, Kon Yeow lebih memfokuskan urusannya dalam usaha menangani wabak itu bagi memastikan Pulau Pinang bebas daripada sebarang jangkitan.

Sepanjang tempoh ini, beliau jarang mengadakan aktiviti melibatkan wartawan atau mengadakan sidang media namun menyampaikan mesejnya melalui Facebook Live yang selalunya diadakan pada waktu tengah hari.

Baru-baru ini, dua ADUN Bersatu yang beralih sokongan itu khabarnya diangkat dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Khaliq Mehtab dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), manakala Zolkifli dilantik sebagai anggota Lembaga Penasihat Mara Corp Sdn Bhd, cabang pelaburan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Mengenai lantikan itu biarlah rakyat yang menilainya sendiri. Apa yang diharapkan ialah masyarakat di kawasan mereka menerima manfaat sewajarnya dengan pelantikan berkenaan.

Pada masa ini, mungkin rakyat tidak lagi peduli dengan wadah parti yang wakil rakyat kiblatkan namun perlu diingatkan, amanah dan kepercayaan rakyat jangan cuba dipersia kerana tanpa sokongan mereka, anda bukan sesiapa sekarang.

Tidak kira siapa yang menerajui kerajaan negeri ataupun pusat, pastinya rakyat mahukan kebajikan mereka terbela, peluang mencari rezeki sentiasa ada selain inginkan jaminan keselamatan dan kestabilan ekonomi negara dijaga.

Mereka tidak lagi mahu melihat sandiwara politik 24 jam yang tidak tentu hala sehingga menjejaskan keharmonian serta perpaduan negara.

Sudah-sudahlah berdrama, jalankan tugas sebaiknya dengan membina semula negara.

* Mohd Iskandar Othman ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Utara