Tokoh wartawan Datuk Ahmad A Talib meninggal dunia

Tokoh wartawan, Datuk Ahmad A Talib,69, meninggal dunia akibat kanser hati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada jam 5.42 petang hari ini. -Foto Bernama
Tokoh wartawan, Datuk Ahmad A Talib,69, meninggal dunia akibat kanser hati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada jam 5.42 petang hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tokoh wartawan, Datuk Ahmad A Talib meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini pada jam 5.42 petang hari ini.

Allahyarham berusia 68 tahun meninggal dunia akibat kanser hati.

Berita sedih kematian bekas Pengarah Operasi Berita dan Editorial Kumpulan Media Prima Bhd (MPB) itu dikongsikan oleh anak perempuan Allahyarham, Sophia Ahmad menerusi catatan di laman Facebook beliau.

Sophia turut memaklumkan jenazah akan dibawa ke Masjid Al Muqarrobin, Bandar Tasik Selatan untuk urusan pengebumian.

“Solat jenazah akan diadakan di lokasi sama. Insya-ALLAH, jenazah Allahyarham akan dikebumikan pada hari ini juga. Mohon sedekahkan Al-Fatihah untuk Allahyarham, moga ALLAH merahmati dan mengasihi roh beliau. Jazakallah,” menurut catatan itu.

Sementara itu, Sophia ketika dihubungi Bernama memaklumkan bapanya didiagnos mempunyai kanser hati kira-kira sebulan lalu semasa mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di ibu kota.

“Kemudian beliau dimasukkan ke PPUM pada hari raya pertama, sebelum meninggal dunia hari ini. Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Sungai Besi,” kata Sophia yang merupakan wartawan Berita Harian.

Allahyarham Ahmad meninggalkan isteri, Datin Nur Shima Daud, 66, dan empat orang anak serta seorang cucu perempuan.

Artikel Berkaitan:

Ahmad memulakan kerjaya sebagai wartawan kadet Perkhidmatan Berita Ekonomi di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 1972, sebelum berhijrah dan berkhidmat di Business Times (Malaysia) Sdn Bhd (dahulunya Kewangan Penerbitan Sdn Bhd) pada 1978, dan akhbar tempatan Berita Harian sekitar 1985.

Pada 1987, Ahmad dilantik sebagai Penolong Pengarang Berita Harian dan pernah memegang beberapa jawatan utama seperti Pengarang Berita New Straits Times; Ketua Pengarang Berita; Pengarang Bersekutu dan Penolong Pengarang Kumpulan sekitar tahun 1991 hingga 1996.

Allahyarham seterusnya dilantik sebagai Pengarang Kumpulan, New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) pada 1998 dan sebagai Pengurus Besar Kumpulan dan Komunikasi dan Pemasaran Editorial (2004).

Beliau bersara awal daripada Kumpulan NSTP pada 2005.

Pada Julai 2009, Ahmad menyertai semula NSTP dan dilantik sebagai Pengarah Eksekutif akhbar itu dan MPB, seterusnya dilantik sebagai Penasihat Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MPB pada 2013. - Bernama