'Tiga rumah terbuka' dikompaun

Osman (dua dari kanan) bersama pegawai dan anggota IPD Taiping membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Taiping bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan. - Foto Facebook Polis Daerah Taiping
Osman (dua dari kanan) bersama pegawai dan anggota IPD Taiping membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Taiping bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan. - Foto Facebook Polis Daerah Taiping
A
A
A

TAIPING - Tiga tuan rumah di sekitar Taiping dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang apabila menerima kunjungan tetamu pada hari raya kedua.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, tindakan tersebut melanggar melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan.

Menurutnya, tindakan itu dibuat hasil rondaan dan tinjauan yang dilakukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sekitar bandar tersebut.

"Bila kita tanya mereka kenapa benarkan tetamu hadir pada hari raya kedua mereka memberikan alasan kononnya tidak faham dan kurang faham SOP dikeluarkan.

"Hari raya kedua masih ada dalam kalangan mereka yang adakan rumah terbuka dan menerima tetamu, jadi ini merupakan pelanggaran SOP dan kita telah keluarkan tiga kompaun setakat ini," katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata, ketiga-tiga rumah yang dikenakan kompaun itu di Bukit Jana, Kamunting di sini.

Sementara itu, Osman berkata, rondaan turut dijalankan anggotanya di sekitar Taman Tasik Taiping bagi memastikan tiada aktiviti bukan untuk tujuan riadah dilakukan di kawasan tersebut.

Beliau berkata, sebanyak 44 kompaun dikeluarkan sejak 22 hingga 26 Mei berkaitan pelanggaran SOP.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kebanyakan kompaun tersebut dikeluarkan kepada orang ramai yang menaiki kenderaan sama tetapi tidak tinggal serumah.