Kes denggi daerah Kinta membimbangkan

Sampel air mengandungi jentik-jentik turut diambil ketika gotong-royong yang diadakan hari ini.
Sampel air mengandungi jentik-jentik turut diambil ketika gotong-royong yang diadakan hari ini.
A
A
A

IPOH - Daerah Kinta terus mencatatkan kes demam denggi tertinggi di Perak apabila statistik minggu ke-19 bermula 3 hingga 9 Mei mencatatkan 69 ke berbanding minggu sebelumnya iaitu 48 kes.

Kawasan Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Chepor mencatat bilangan kes tertinggi di daerah itu iaitu sebanyak 48 kes iaitu membabitkan seramai 11 kanak-kanak, 10 warga emas dan 27 dewasa sejak didaftarkan sebagai kawasan panas pada 28 Mac.

Selain itu, dua lagi kawasan yang mencatatkan jumlah kes tertinggi di daerah Kinta ialah Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan sebanyak 37 kes dan Taman Klebang Jaya sebanyak 23 kes.

Bimbang dengan penularan wabak itu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta giat menjalankan gotong-royong membasmi tempat pembiakan nyamuk aedes di RPT Chepor, di sini, hari ini.

Pengerusi Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (Combi) RPT Chepor, Baharum Mohd Yusof berkata, kes tersebut menjadi tidak terkawal dipercayai selepas berlakunya kejadian ribut di kawasan tersebut sebelum Aidilfitri.

Zainal Abidin (berdiri dua dari kanan) memberikan taklimat kepada ahli jawatankuasa Combi RPT Chepor mengenai tindakan diambil oleh PKD Kinta.
Zainal Abidin (berdiri dua dari kanan) memberikan taklimat kepada ahli jawatankuasa Combi RPT Chepor mengenai tindakan diambil oleh PKD Kinta.

Menurutnya, sebagai langkah pencegahan, Combi RPT Chepor bersama-sama PKD Kinta menjalankan beberapa sesi gotong-royong selain kempen kesedaran kepada masyarakat setempat.

"Kita juga mengingatkan semua penduduk di sini supaya mengambil tanggungjawab membersihkan kawasan rumah masing-masing bagi memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk.

Artikel Berkaitan:

"Semburan kabus juga sudah dilakukan beberapa kali untuk memastikan tiada lagi jangkitan wabak denggi ini di sini," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di program gotong-royong di RPT Chepor.

Hadir sama pada program tersebut, Inspektor Kesihatan Kanan, Unit Vektor PKD Kinta, Zainal Abidin Habibur Rahman; Pegawai Pendidikan Kesihatan PKD Kinta, K Giritharan dan Pembantu Kesihatan Awam PKD Kinta, C Indiran.

Baharum berkata, terdapat 150 rumah di RPT Chepor dengan jumlah penduduk melebihi 400 orang.

Menurutnya, kerjasama pihak berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan, Pejabat Pembangunan Luar Bandar (PLB) dan sebagainya turut ditagih bagi memastikan usaha membendung wabak ini berjaya.

Jelasnya, penduduk memerlukan khidmat penyelenggaraan longkang selain memohon kepada kerajaan agar longkang sedia ada dinaik taraf segera bagi mengelak kejadian sama berulang.

Sementara itu, Zainal Abidin ketika memberikan taklimat kepada penduduk dan ahli jawatankuasa Combi berkata, penduduk diharap dapat bekerjasama dengan PKD Kinta untuk memastikan tiada kes baharu dan kematian akibat demam denggi di kawasan tersebut.

Beliau berkata, pihaknya akan mengeluarkan kompaun RM500 jika terdapat rumah yang mempunyai tempat pembiakan nyamuk.