Tinggal motor elak dicekup

Tiga buah motosikal 'sprint test' antara 19 buah motosikal yang disita dalam tiga operasi berasingan di sekitar daerah Marang di sini semalam - Foto Ihsan IPD Marang Gambar kecil: Mohd Zain Mat Dris
Tiga buah motosikal 'sprint test' antara 19 buah motosikal yang disita dalam tiga operasi berasingan di sekitar daerah Marang di sini semalam - Foto Ihsan IPD Marang Gambar kecil: Mohd Zain Mat Dris
A
A
A

MARANG - Cuak melihat kehadiran polis, sekumpulan samseng jalanan sanggup meninggalkan motosikal masing-masing sebelum melarikan diri dalam tiga serbuan berasingan di kawasan Binjai Rendah, Mak Kemas dan Pantai Kelulut di sini semalam.

Serbuan pertama dilakukan jam 5 pagi di dua lokasi iaitu di sekitar kawasan Binjai Rendah dan Mat Kemas di sini.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menyita tiga buah motosikal 'sprint test' dan dua lelaki ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Selain itu, sebanyak 18 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan trafik seperti tidak mempunyai lesen, cermin sisi dan ubah suai kenderaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Mohd Zain berkata, dalam serbuan di Pantai Kelulut pula yang bermula jam 6 petang hingga 8 malam, sebanyak 16 buah motosikal disita dan sebanyak 33 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, serbuan dilakukan tertumpu di lokasi yang sering menjadi laluan samseng jalanan berkenaan untuk menguji kelajuan motosikal dengan melakukan pelbagai aksi berbahaya.

"Keadaan itu menimbulkan kebimbangan pengguna lain kerana mengancam keselamatan orang ramai.

"Lokasi ini kita kesan memang selalu menjadi tumpuan mereka diharap dengan operasi dijalankan dapat mengurangkan sedikit masalah samseng jalanan di daerah ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita pandang serius isu rempit ini dan tindakan tegas akan diambil kerana aktiviti ini bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri tetapi pengguna jalan raya lain," katanya.

Dalam operasi di tiga lokasi itu, pihaknya berjaya menahan dua samseng jalanan bagi tujuan pemeriksaan, sebanyak 51 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan manakala 19 motosikal disita termasuk motosikal 'sprint test'.

Sementara itu, Mohd Zain berkata, pihaknya turut mengadakan Op Topi Keledar, Op Lampu Isyarat dan Op Motosikal bagi memastikan penduduk di daerah ini mematuhi undang-undang lalu lintas.