Tipu emel, syarikat rugi RM1.81 juta

Azizan
Azizan
A
A
A

BANTING - Sebuah syarikat kerugian lebih RM1.81 juta selepas diperdaya individu yang menyamar menggunakan emel syarikat, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada 6 Mei selepas pengadu berusia 31 tahun iaitu pegawai kanan kewangan syarikat terbabit membuat dua transaksi mata wang Euro.

Menurutnya, transaksi pertama dianggarkan berjumlah RM908,615.65 dan transaksi kedua juga jumlah yang sama iaitu RM908,615.65.

"Pada 12 Mei, pihak bank telah menghubungi pengadu dan memberitahu bahawa akaun bank telah disekat dan penghantaran wang ditolak sebelum pengadu menerima satu emel daripada penama yang mendakwa dari sebuah syarikat di Jerman.

"Kemudian pada 19 Mei, majikan pengadu memaklumkan bahawa wakil syarikat yang sebenar masih belum menerima sebarang bayaran," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Azizan berkata, setelah pengadu teliti, didapati penama terbabit telah menyamar sebagai wakil syarikat tersebut dengan menukar emel seakan sama.

Beliau berkata, menyedari hal berkenaan, pengadu telah membuat laporan polis pada Jumaat lalu di Balai Polis Telok Panglima Garang.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan suspek terlibat. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: