Peniaga naikkan harga barang dikompaun

Antara premis yang dikenakan kompaun kerana menjual barang kawalan iaitu ayam melebihi harga kawalan.
Antara premis yang dikenakan kompaun kerana menjual barang kawalan iaitu ayam melebihi harga kawalan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gara-gara tidak mempamerkan harga serta menjual barang harga terkawal melebihi harga yang ditetapkan, enam peniaga dikompaun RM39,500 dalam operasi berasingan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di ibu negara, baru-baru ini.

Ketua Penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Azeem Nazuri berkata, tiga peruncit masing-masing dikompaun RM2,500 dalam operasi pada Sabtu lalu kira-kira jam 11.30 pagi di Jalan Wirawati, Kampung Pandan.

"Pada hari yang sama juga seorang pemborong dikompaun RM25,000.

"Susulan itu, pemeriksaan kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam, dua peniaga turut dikompaun atas kesalahan berbeza iaitu gagal meletakkan tanda harga pada barang jualan iaitu tomato serta menjual ayam melebihi harga terkawal," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, tindakan diambil di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Peraturan 3(1) Perintah Kawalan Harga (PHOPR) 1993.

Katanya, kompaun yang tinggi akan dikenakan sekiranya gagal mematuhi undang undang yang berkuatkuasa dan ini menjadi peringatan kepada peniaga lain supaya mempamerkan tanda harga serta tidak menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum sepanjang Skim Harga Maksimum Musim Perayaan berkuatkuasa.

Dalam pada itu, sebanyak 2,795 premis diperiksa bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama sehingga 25 Mei, dengan keseluruhan 34 kes.

Tegasnya, pihaknya akan terus menguatkuasakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan sepanjang tempoh penguatkuasaan dan peniaga diingatkan supaya mematuhi harga maksimum ditetapkan.

Artikel Berkaitan: