Covid-19: Mr Malaysia 2020 batal

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KEJOHANAN bina badan kebangsaan Mr Malaysia 2020 di Kedah pada Julai depan dibatalkan berikutan pandemik Covid-19.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM), Kamarulzaman Kadir berkata, pihaknya bersetuju meluluskan permohonan Persatuan Bina Badan Negeri Kedah membatalkan kejohanan itu, namun Kedah masih kekal tuan rumah edisi tahun depan.

“Dalam situasi tidak menentu ini, kami khuatir dengan keselamatan manakala penaja pun tidak boleh menjamin untuk memberikan jumlah penuh penajaan yang dipersetujui. Jadi kami mengambil keputusan membatalkan edisi tahun ini.

“Kami tidak mahu menunda kejohanan ini beberapa kali, lebih baik adakan pada 2021. Lagipun, gimnasium masih tutup, atlet tidak dapat berlatih. Mereka memerlukan masa untuk memantapkan kembali otot-otot mereka,” katanya.

Sementara itu, Kamarulzaman berkata, pada masa ini tiada perubahan bagi kejohanan peringkat rantau dan antarabangsa yang dijadualkan bermula September ini.

Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Asia Tenggara Ke-17 yang pada awalnya dijadualkan bermula 11 hingga 16 Jun di Vientiane, Laos, telah dijadualkan semula dari 24 hingga 29 September depan.

Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Asia ke-54 dijadualkan bermula 5 hingga 11 September depan di Maldives, manakala Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia dijangka diadakan pada November.

Jaguh bina badan negara, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah merupakan juara bertahan dunia dan Asia selepas memenangi kejuaraan dunia keempat dan kelima Asia pada tahun lalu.

Artikel Berkaitan: